SEPANG - Seorang pekerja kilang ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu hantaran jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi media sosial pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan jam 9.30 malam di Melaka, pada Selasa.
"Majistret Sepang membenarkan permohonan reman dua hari bermula hari ini hingga Khamis untuk siasatan lanjut siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, polis menafikan anggotanya terlibat dalam satu hantaran jelik terhadap Perdana Menteri, menerusi media sosial.
Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata, semakan dijalankan berdasarkan satu tangkap layar memaparkan komen yang dilontarkan seorang individu mendakwa merupakan anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Semakan dijalankan pihak Bukit Aman menerusi telefon bimbit yang digunakan mengesahkan individu terbabit bukan warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada Isnin, tular satu hantaran di media sosial berkaitan tangkap layar di salah satu platform memaparkan seorang individu mendakwa sebagai seorang anggota polis.