USANITA Sdn Bhd (USANITA) menjalinkan kerjasama dengan usahawan Indonesia dan Malaysia menerusi program ‘bridge to brilliance ft Jakarta’ bagi memperkasa ekonomi yang lebih mampan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzliana Hasan berkata, ia bagi meneroka pasaran dan peluang yang lebih baik serta dapat memperkukuh hubungan serantau melalui jalinan perniagaan.
Menurutnya, usaha kolaborasi tersebut akan dilanjutkan di negara serantau seperti Thailand dan Filipina yang mempunyai potensi tinggi untuk mempromosi produk dan perkhidmatan secara meluas.
"Program ini akan berlangsung pada Januari tahun depan dan kami menawarkan peluang kepada usahawan daripada kedua-dua negara untuk belajar serta bekerjasama, selain menjalin ikatan perpaduan yang teguh.
"Usahawan Malaysia perlu meneroka pasaran Indonesia secara aktif kerana kedua-dua negara mempunyai potensi besar sebagai platform pasaran yang lebih luas di ASEAN.
"Ia termasuk kerjasama antara produk dan perkhidmatan yang disokong oleh inisiatif kerajaan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, menurut Adzliana, walaupun tumpuan penuh akan kekal di Indonesia namun beliau percaya ia mampu memberi manfaat dari segi peningkatan hasil jualan produk secara kolaboratif.
Ujarnya, ia dijangka menarik pelaburan terutama dalam industri kecantikan dan makanan serta sejajar dengan matlamat ekonomi Malaysia yang lebih luas.
Jelasnya, USANITA akan menganjurkan beberapa siri bengkel dan menyediakan platform untuk usahawan daripada kedua-dua negara bertukar idea, meneroka sinergi serta meletakkan asas perkongsian dalam bidang keusahawanan.
"Usaha ini dijangka akan memberi manfaat bukan sahaja kepada usahawan yang mengambil bahagian, tetapi juga kepada mereka yang menyumbang kepada penciptaan pekerjaan dan kepelbagaian ekonomi.
"Kami berhasrat berkongsi kisah kejayaan, menerangkan usaha kolaboratif perniagaan sebagai inspirasi dan menggalakkan lebih ramai usahawan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam kerjasama rentas sempadan.
"Program ini sejajar dengan komitmen kami untuk memajukan pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama yang inovatif," katanya.