Proses lupus al-Quran: Perlu jaga adab walau sudah jadi abu

Iklan
Fadzli menunjukkan al-Quran yang rosak akibat dimakan anai-anai.

BATU PAHAT - Kehadiran sekumpulan sukarelawan membantu melancarkan proses pengurusan pelupusan al-Quran di Pusat Pelupusan Al-Quran Muhibbul Quran Malaysia (MQM), Kampung Haji Ghaffar, Batu 6, Yong Peng.

Pengerusinya, Fadzli Md Salleh berkata, sukarelawan berusia 50 tahun ke atas yang kebanyakannya merupakan pesara dan golongan wanita menjadi tulang belakang kepada MQM yang telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, MQM merupakan salah satu pusat melupuskan al-Quran serta kitab agama di dalam negeri ini yang mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

"Setakat ini, terdapat seramai 40 sukarelawan yang tinggal sekitar Yong Peng dan Batu Pahat.

Iklan

"Sukarelawan akan membantu proses pelupusan yang dilakukan secara cermat dan teliti sebaik sahaja ia diterima.

"Pada setiap hari Rabu, MQM akan menerima al-Quran, buku dan kitab agama yang hendak dilupuskan daripada orang ramai yang datang sendiri ke pusat pelupusan," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Iklan

Fazli berkata, proses melupuskan bermula daripada pengasingan, menimbang, membakar, membongkah dan seterusnya membuang abu ke dalam laut dilakukan mengikut adab yang ditetapkan.

"Di sini, terdapat tiga relau khas bagi proses membakar.

"Dua relau mampu membakar 400 kilogram (kg) dan sebuah lagi 200kg.

Fadzli (kanan) menunjukkan abu al-Quran yang disimpan sebelum dihapuskan di laut.

"Kerja-kerja membakar akan dilakukan di dalam relau khas kira-kira 24 jam dan dibiarkan selama sehari sebelum relau dibuka dan proses membongkah abu akan dilakukan sukarelawan," katanya.

Sementara itu, sukarelawan Normah Hamzah, 64, berkata, sudah tiga tahun dirinya terbabit sebagai sukarelawan di MQM dan banyak belajar mengenai pelupusan al-Quran mengikut syarak.

"Alhamdulillah, buat masa ini, masa yang ada ini digunakan dengan melakukan kerja-kerja sukarelawan.

"Mungkin ramai anggap ia kerja yang mudah, tetapi tidak kerana perlu dilakukan dengan teliti.

"Saya cukup teruja dapat belajar tentang proses pelupusan al-Quran yang mana setiap proses yang dilakukan di sini tetap sentiasa dijaga kehormatannya walaupun sudah menjadi abu," ujarnya.

Sukarelawan, Samsiah Md Elah, 63 berkata sumbangan tenaga yang diberikan merupakan usaha untuk dirinya memelihara kesucian al-Quran.

Sukarelawan yang banyak membantu proses pelupusan al-Quran di Pusat Pelupusan Al-Quran Muhibbul Quran Malaysia (MQM), Kampung Haji Ghaffar, Batu 6, Yong Peng.

"Sebelum kerja-kerja pengasingan dan pengasingan dilakukan, sukarelawan akan mengambil wuduk serta berselawat," katanya.

Sementara itu, sebanyak 15 tan abu al-Quran masih disimpan di Pusat Pelupusan Al-Quran MQM untuk dilupuskan di laut.

Setiausahanya, Idrus Mohd Shuhud berkata, musim monsun timur laur ketika ini menyebabkan abu berkenaan tidak dapat dilarutkan di laut.

"Kami mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk melupuskan abu al-Quran di tengah laut terutamanya di perairan Mersing.

"Bilangan al-Quran, buku dan kitab banyak diterima pada bulan Mac lalu ketika Batu Pahat dilanda banjir besar," katanya.