Tak tahan bau busuk, penduduk terpaksa pakai pelitup muka ketika tidur

Iklan
Zahari menunjukkan parit di hadapan rumahnya yang berubah warna dan berbau busuk. - Gambar kecil: Meor Yasri

KLANG - Penduduk yang menetap di Taman Desa Baiduri, Bukit Kapar di sini mendakwa pencemaran parit di hadapan rumah bukan sahaja mengubah warna menjadi hitam tetapi turut berbau busuk.

Penduduk, Zahari Idris, 58, berkata, bau seakan kebocoran gas itu mula dikesan di Parit Jalan Haji Abd Wahid kira-kira jam 12 tengah malam Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, akibat bau kurang menyenangkan itu mereka sekeluarga terpaksa tidur dengan memakai pelitup muka.

"Mulanya kami enam beranak menyangka ada masalah pada sistem pendawaian penyaman udara, namun tidak mengetahui punca sehingga ke Subuh.

Iklan

"Saya hanya dapat mengesan bau datang dari arah parit sejauh 10 meter dari rumah kira-kira jam 7 pagi tadi (Rabu) semasa keluar dari rumah," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Katanya, ia kali pertama berlaku selepas berpindah di kawasan perumahan itu sejak empat tahun lalu.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, punca sebenar pencemaran itu tidak diketahui dan penduduk sekitar mula berasa tidak selesa dengan keadaan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Meor Yasri Ilman Meor Ahmad, 33, berkata, sehingga kini bau busuk yang mula dikesan pada malam Selasa masih menghantui penduduk.

Jelasnya, rata-rata penduduk kesal dengan pencemaran parit itu lebih-lebih lagi ia berdekatan dengan kawasan perumahan.

"Malam tadi saya terjaga sebab tidak tahan dengan bau busuk hingga meloyakan tekak, selain pening kepala macam nak pitam terutamanya jika angin bertiup.

"Selain itu, saya bimbang juga apabila pakaian yang kami sidai di luar rumah melekat bau kurang menyenangkan," kata Meor Yasri.

Nasruddin menunjukkan aliran air bertukar warna hitam dan berbau busuk di Parit Jalan Haji Abd Wahid di sini pada Rabu.

Seorang peniaga kedai kek, Nasruddin Shahrom, 35, berkata, pencemaran parit hanya disedarinya selepas mengambil anak pulang ke sekolah pada Rabu.

Katanya, parit itu tidak pernah dicemari sebarang sisa toksik sejak menyewa di premis itu tiga tahun lalu.

"Kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi memastikan pihak yang melakukan pencemaran diambil tindakan tegas," ujarnya.

Sebelum ini tular di Facebook mengenai keluhan penduduk yang mendakwa bau kurang menyenangkan seakan bau racun perosak di kawasan Parit Jalan Haji Abd Wahid.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan lanjut sebaik menerima aduan pada pagi Rabu.

"Keutamaan kita adalah untuk mengarahkan pihak bertanggungjawab untuk membuat kerja-kerja pembersihan segera," jelas beliau.