KLUANG -"Saya sangka dentuman kuat itu bunyi petir, rupanya tembok penghadang di taman permainan runtuh," kata Shahila Manat.
Shahila, 37, merupakan penduduk Jalan Semarak Api 3, Rumah Rakyat Gunung Lambak yang tinggal kira-kira lima meter dari taman permainan tersebut.
Menurutnya, kejadian sekitar jam 3 petang Selasa itu berlaku ketika dia sekeluarga sedang berehat di rumah.
"Akibatnya, air melimpah ke jalan dan memasuki parit yang menjadi pemisah antara rumah kami dan jalan raya," katanya pada Rabu.
Shahila berkata, tembok penghadang tersebut baharu dibina pada awal tahun ini.
"Saya bimbang insiden ini akan berulang menjadi lebih buruk lebih-lebih lagi ketika musim hujan.
"Oleh itu, penduduk berharap tindakan segera dapat dilakukan pihak berkuasa tempatan bagi mengatasi masalah ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Whip Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Md Norhalim Md Amin berkata, kejadian tersebut sudah dimaklumkan dan tindakan segera akan dilakukan.
Jelasnya, kerja-kerja pembersihan runtuhan tembok akan dilakukan, sebelum bahagian kejuruteraan membuat siasatan punca tembok runtuh.