BEREGU campuran negara bakal membuat perhitungan sesama sendiri pada pusingan kedua untuk merebut tiket ke suku akhir Masters Jepun 2023 di Kumamoto pada Khamis.
Pertembungan itu melibatkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menentang Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai setelah kedua-dua pasangan menundukkan lawan masing-masing pada Rabu.
Tan Jie-Ee Wei mengesahkan kemaraan selepas menang mudah ke atas Wei Chun Wei-Nicole Gonzales Chan dari Taiwan 21-11, 21-10 dalam tempoh masa 25 minit permainan.
Langkah tersebut disusuli Soon Huat-Shevon yang menewaskan pasangan Scotland, Adam Hall-Julie Macpherson secara straight 21-11, 21-11 dalam masa 24 minit perlawanan.
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berharap Tang Jie-Ee Wei beraksi seperti biasa ketika menentang pasangan profesional itu.
"Kalau boleh saya mahu mereka melangkah lebih jauh agar dapat mengekalkan mata selamat bagi melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF)," katanya.
Berdasarkan rekod, mereka pernah bertemu sebanyak sekali di pentas antarabangsa.
Ia berlangsung dalam kejohanan Terbuka Korea pada Julai lalu yang memihak kepada Soon Huat-Shevon menerusi kemenangan 21-16, 21-16.
Turut mara ke pusingan seterusnya ialah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengalahkan Chen Zhi Ray dan Yang Ching Tun dari Taiwan.
Namun kemenangan itu bukan dicapai dengan mudah apabila perlawanan diheret ke set penentuan.
Tewas pada set pertama 20-22, Kian Meng-Pei Jing bangkit untuk mengungguli set kedua 21-13 dan mengesahkan kemenangan 21-15 untuk menentang pilihan keenam kejohanan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan yang mengalahkan wakil Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 16-21, 24-22, 21-12.