ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan polisi dan garis panduan terhadap hiburan menyebabkan kemerosotan kemasukan pelancong di Langkawi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menegaskan, tiada sebarang isu berbangkit berkaitan polisi dan garis panduan hiburan di Kedah hingga memberi kesan kepada industri pelancongan.
Beliau memaklumkan, Kedah tetap membenarkan aktiviti hiburan tertentu asalkan ia mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.
"Kita tadi telah meluluskan pertunjukan sarkas di Alor Setar kerana tidak ada isu apa. Cuma, dalam sektor hiburan ada garis panduan.
"Semua negeri ada garis panduan dari segi bentuk pertunjukan (dan) macam-macam, namun orang tumpu kepada (isu) pakaian disebabkan ketua negeri dari Pas," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Beliau berpandangan, gambaran ditimbulkan seolah-olah kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) hanya menumpukan soal menutup aurat semata-mata.
"Gambaran itu tahun 60-an hingga 70-an.
"Orang sekarang ini kerana adanya Pas, pakai tudung semua (kerana) adanya dakwah, adanya perkembangan Islam.
"Dulu mana ada orang pakai tudung," katanya.
Disebabkan itu, Muhammad Sanusi mempersoalkan mengapa ada pihak seolah-olah sengaja membangkitkan isu pakaian menutup aurat di Langkawi.
Sebelum ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris memetik kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Parlimen berhubung dakwaan terdapat larangan terhadap pelancong bukan Islam untuk memakai seluar pendek serta mengambil minuman keras di Langkawi
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi sekali lagi meminta persepsi buruk terhadap Langkawi yang didakwa bukan lagi menjadi pilihan pelancong perlu dihentikan dan diperbetulkan segera.
Beliau berkata, pihaknya mendapati kehadiran pelancong ke pulau legenda terbabit didapati berjalan seperti biasa terutamanya pada musim perayaan.
"Saya dapati waktu cuti Deepavali, ramai pelancong telah masuk ke Langkawi (dan) ada kapal persiaran yang besar-besar sana bawa sampai 10,000 hingga 20,000 orang.
"Saya juga hendak menafikan kesunyian Langkawi (memandangkan) semua destinasi pelancongan ada waktu puncak, ada waktu ada orang (dan) ada waktu tak ada orang.
"Ada jadual dalam sektor pelancongan," katanya.
Beliau menjelaskan, disebabkan itu, harga tempahan hotel boleh berubah bergantung waktu puncak ataupun biasa, malah ia lumrah dalam sektor pelancongan.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah memutuskan untuk menganjurkan Tahun Melawat Kedah 2025.
"Ada banyak program sempena dengan Tahun Melawat Kedah 2025 dan promosi pun kita giatkan juga.
"Saya harap program Tahun Melawat Kedah 2025 akan dapat kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di peringkat Persekutuan terutamanya dari sudut promosi," katanya.