Mohd Hatta gagal kembalikan saman berhubung tuntutan Batu Puteh

Iklan
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara menolak rayuan Mohd Hatta selepas mendapati perayu tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mohd Hatta Sanuri gagal dalam usaha mengembalikan semula samannya berhubung penarikan balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tuntutan Batu Puteh.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara menolak rayuan Mohd Hatta selepas mendapati perayu tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden.

Iklan
Iklan

"Tuntutan itu jelas menyalahgunakan proses mahkamah, dan responden telah memenuhi ambang Perintah 18, Peraturan 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (membatalkan permohonan), bahawa perkara berhubung tuntutan Mohd Hatta adalah tidak wajar. Oleh itu kami menolak rayuan perayu dengan kos RM10,000," katanya.

Hakim Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Datuk See Mee Chun dan Mohamed Zaini Mazlan, turut menolak rayuan Mohd Hatta terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Jan tahun lepas yang membenarkan permohonan perdana menteri dan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan perintah perlindungan bagi dokumen berkaitan.

Iklan

"Kami dapati tiada merit dalam rayuan itu. Kami bersetuju dengan responden bahawa dokumen itu bersifat sensitif, yang melibatkan hubungan diplomatik dan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Singapura. Kami menolak rayuan dengan kos RM5,000," katanya ketika menyampaikan keputusan pada Rabu melalui prosiding dalam talian.

Pada 1 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman Mohd Hatta selepas membenarkan permohonan perdana menteri dan kerajaan.

Iklan

Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz semasa membenarkan permohonan itu berkata perkara berkenaan tidak boleh diadili dan Mohd Hatta juga tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membawa tindakan undang-undang terhadap defendan (perdana menteri dan kerajaan).

Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2003 yang memberikan bidang kuasa perundangan keatas Batu Puteh (dikenali sebagai Pedra Branca oleh Singapura) kepada Singapura walaupun sebelum perbicaraan kes itu, yang dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei 2021, Mohd Hatta memfailkan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang didakwanya terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Mohd Hatta memohon perintah supaya defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ pada 1 Jun 2018, sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti yang kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Feb 2017.

Beliau turut memohon deklarasi bagi kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi yang dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata, berjumlah sekurang-kurangnya RM10 juta tiap seorang.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Feb 2017 sehingga tarikh mereka menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.

Sebelum itu, peguam Mohaji Selamat yang mewakili Hatta berhujah bahawa perayu mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh kerana ia membabitkan kedaulatan negara.

Menurutnya, tindakan penarikan semula semakan itu mengakibatkan kerugian bukan sahaja kepada perayu tetapi kepada 32 juta rakyat Malaysia.

"Kos yang banyak dikeluarkan untuk memulakan semakan ini di ICJ, namun tindakan menarik balik semakan secara tiba-tiba iaitu dua minggu sebelum pendengaran menyebabkan kerugian kepada rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berhujah tindakan undang-undang difailkan anak guamnya bukan berasaskan spekulasi berikutan Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan berpendapat penarikan balik semakan itu adalah tidak teratur dan tidak wajar.

"Oleh yang demikian, kes ini sepatutnya didengar melalui perbicaraan penuh dan bukannya dibatalkan oleh mahkamah. Saya mohon rayuan perayu dibenarkan,” kata peguam itu.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Liew Horng Bin yang mewakili responden berhujah bahawa pemohon tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang.

"Apakah hak perayu sebagai warganegara untuk memulakan kes ini? Jika dia gagal mengenal pasti haknya, kami berhujah bahawa perayu tidak mempunyai locus standi,” katanya sambil menambah bahawa tuntutan perayu adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

Liew, yang dibantu oleh SFC Shamsul Bolhassan, seterusnya berhujah bahawa keputusan responden untuk menarik balik semakan ICJ dibuat selepas menimbangkan nasihat undang-undang yang diberikan oleh pakar undang-undang asing yang dilantik oleh kerajaan. - Bernama

Artikel berkaitan: Pulau Batu Puteh: Rayuan kembalikan semula saman didengar 15 November