Majikan tak dibenar bayar gaji secara tunai kecuali dapat kelulusan

Iklan
Sivakumar memeriksa majikan mengenai status pekerja melalui telefon pintar mereka ketika mengetuai Ops Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pembayaran gaji secara tunai tidak dibenarkan kecuali dengan persetujuan pekerja dan mendapat kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bagi mengelakkan sebarang manipulasi.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, majikan yang didapati tidak membuat pembayaran gaji melalui akaun bank dianggap melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 mengikut Seksyen 25 dan 25(A) Akta Kerja 1955 (Akta 265).

Iklan
Iklan

Beliau berkata dalam operasi bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur bersama JTKSM dekat sini pada Rabu, 19 daripada 34 majikan yang diperiksa didapati melakukan kesalahan membayar gaji pekerja secara tunai, selain beberapa kesalahan lain seperti pelanggaran waktu kerja dan tidak membayar gaji mengikut Perintah Gaji Minimum.

"Operasi dilaksanakan kerana kita terima beberapa aduan dari pihak tertentu bahawa ada pekerja di pasar borong ini yang tidak dibayar gaji, tidak mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta majikan tidak membayar gaji pekerja melalui akaun bank," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Iklan

Sementara itu, Sivakumar berkata 1,654 kertas siasatan dibuka dalam tempoh Januari hingga Oktober lepas atas kesalahan berkaitan pembayaran gaji, penginapan pekerja serta perintah gaji minimum melibatkan jumlah kompaun dan denda lebih RM4.3 juta.

Katanya, daripada kertas siasatan yang dibuka itu, 357 kes melibatkan pesalah didenda dengan nilai yang berjumlah RM391,236 manakala 775 kes melibatkan kompaun berjumlah RM3,958,500.

Iklan

Beliau berkata, kertas siasatan yang dibuka merangkumi kes-kes yang berkaitan dengan Akta 265, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 dan Perintah Gaji Minimum 2022.

Katanya, kementerian dan jabatan berkaitan komited untuk memastikan tiada elemen buruh paksa di negara ini, dan operasi bersepadu akan diteruskan di seluruh negara.

"Saya telah tegaskan beberapa kali sekiranya kita terima aduan daripada pekerja atau pihak kedutaan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang tidak mengikut undang-undang sedia ada selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya. - Bernama