Pan-gon rayu penyokong Harimau Malaya penuhi Bukit Jalil esok

Iklan
Pan-gon - Foto Bernama

KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon berharap akan 'kebanjiran' penyokong setia Harimau Malaya semasa perlawanan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Beliau berkata, sokongan padu daripada peminat tempatan adalah penting dalam perlawanan ini yang dianggapnya sangat penting bagi pasukan Harimau Malaya dalam usahanya untuk layak ke pusingan ketiga.

Iklan
Iklan

Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, kelebihan bermain di gelanggang sendiri harus dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja oleh pemain tetapi juga penyokong untuk menimbulkan rasa gerun bagi mana-mana lawan sebelum pasukannya menentang ‘The White Falcons’ di tempat lawan tahun depan.

"Jika anda mahu ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia, perlawanan ini adalah penting bagi kita.

Iklan

"Tanpa sokongan anda, kita tidak boleh berbuat apa-apa, kita mahu menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri sepenuhnya dan setiap penyokong perlu datang untuk mencipta persekitaran terbaik.

"Ini adalah ‘rumah’ kita, sesiapa yang datang ke sini, suasana di stadium sepatutnya rasa gerun kepada pasukan lawan.

Iklan

"Hanya 10,000 (penonton) tidak boleh membuat mereka rasa gerun," katanya dalam sidang media praperlawanan menjelang perlawanan esok di sini hari ini.

Sehingga jam 10 pagi tadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan sebanyak 7,587 keping tiket perlawanan antara Malaysia menentang Kyrgyzstan telah terjual.

Gelanggang keramat Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil boleh memuatkan lebih 80,000 penonton. - Bernama