JERANTUT - Seorang peniaga dikenakan hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Jerantut atas pertuduhan mengemukakan sijil nikah yang mengandungi maklumat palsu semasa pendaftaran kelahiran anaknya.
Majistret Mohamed Shah Reza Noor Azman memerintah hukuman tersebut selepas tertuduh, Khairul Anwar Zaini, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Khairul Anwar didakwa mengemukakan sijil pernikahan dengan menyedari ia mengandungi apa-apa butiran palsu semasa membuat pendaftaran kelahiran anaknya.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (AKTA 299).
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang, Mat Razali Shamsuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sehubungan itu, JPN menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa dalam penyaluran maklumat agar setiap isu penyelewengan dapat dikesan.
Jabatan turut berharap agar setiap kesalahan dilakukan dapat diambil tindakan penguatkuasaan dan menjadi teladan kepada masyarakat.