KETIKA isu menolak menyertai Program Road To Gold (RTG) belum reda, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tersingkir dalam saingan pusingan pertama Masters Jepun pada petang Rabu.
Zii Jia yang mengesahkan tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) di bawah program itu kalah straight set 18-21, 20-22 kepada Anders Antonsen dari Denmark dalam aksi yang berlangsung di Kumamoto.
Iklan
Iklan
Harapan pemain berusia 25 tahun itu untuk menyambung saingan dengan langkah kanan tidak menjadi selepas menarik diri daripada Masters Korea minggu lepas.
Masters China pada minggu depan menjadi taruhan seterusnya buat juara Seluruh England itu untuk memburu keputusan positif.
Jawatankuasa RTG pada Selasa mengesahkan Zii Jia tidak akan terus berada dalam RTG, sekali gus juara Asia itu tidak lagi menerima khidmat sokongan daripada program elit berkenaan.
Keputusan tersebut dibuat selepas membuat pertimbangan sewajarnya dan rujukan dalaman menyaksikan Zii Jia tidak memerlukan khidmat sokongan daripada RTG.
Namun, Team LZJ memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara menuju ke Sukan Olimpik Paris tahun depan.