Hujan lebat tambah sengsara penduduk Gaza

Iklan
Kem penempatan sementara yang dihuni ribuan penduduk Palestin di Khan Yunis. - Foto: AFP

GENTING GAZA - Hujan lebat pertama yang membasahi kem penempatan sementara dihuni ribuan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal di selatan Genting Gaza pada Selasa menambahkan lagi kesengsaraan mereka yang kini berdepan malapetaka kemanusiaan.

Keadaan cuaca buruk itu menjadi cabaran baharu kepada golongan tersebut yang dihujani peluru ganas sejak enam minggu lalu.

Iklan
Iklan

Permulaan musim hujan dan ancaman banjir telah meningkatkan kebimbangan ia mungkin berisiko menjejaskan sistem kumbahan selain penularan penyakit bawaan air dengan lebih cepat.

Laluan lecak dan berlumpur sekitar khemah sementara tersebut. - Foto: AFP

"Kami amat khuatir dengan keadaan ini. Kes cirit-birit telah meningkat sejak akhir-akhir ini. Lebih 30,000 kes telah direkodkan," kata jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Harris.

Iklan

Sementara itu, Majlis Pelarian Norway memaklumkan musim hujan luar biasa berpotensi menjadi 'minggu paling sukar' di Gaza sejak konflik Hamas-rejim Zionis tercetus pada 7 Oktober lalu.

Seorang lelaki menggali parit kecil untuk menghalang air daripada memasuki khemah keluarganya. - Foto: AFP

Agensi bantuan lain yang cuba memenuhi keperluan harian penduduk Palestin juga bimbang kerana ketiadaan pelan kecemasan jika berlaku banjir di tengah-tengah kempen pengeboman yang semakin sengit.

Iklan

Peperangan yang tiada tanda bakal berakhir dalam masa terdekat itu telah menyebabkan hampir 1.6 juta penduduk hilang tempat tinggal.

Penghuni kem sementara itu menggunakan apa jua cara untuk melindungi khemah masing-masing. - Foto: AFP

Menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), situasi yang semakin meruncing mengakibatkan ratusan ribu penduduk Gaza kini terpaksa tinggal di kem sesak tanpa bekalan makanan dan air yang mencukupi.

"Kami basah kuyup. Pakaian, tilam dan selimut kami juga lencun. Anjing pun tidak dapat hidup seperti ini," kata Jueidi yang tinggal di bawah khemah di sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rafah.

Beberapa penduduk Palestin cuba bertahan malah ada yang menggunakan plastik sebagai 'pelindung' khemah mereka.

Kanak-kanak ini antara lebih 70 peratus penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal dan berlindung di sekolah kendalian UNRWA di Rafah. - Foto: AFP

"Di mana kami mahu tidur? Kami juga tidak makan selama tiga hari. Anak-anak saya kesejukan. Mereka boleh jatuh sakit," ujarnya lagi yang mula bimbang memandangkan cuaca kini semakin sejuk.

Staf UNRWA cuba untuk meringankan penderitaan golongan itu dengan mengagihkan bekalan makanan di dalam tin dan biskut bagi mengalas perut.

"Kami tiada bekalan air dan kini sedang 'lemas' dengan hujan lebat luar biasa ini," jelas Souha Hassan yang tinggal di bawah khemah sejak hari pertama peperangan itu meletus. - Agensi