KEMAMAN - Barisan Nasional (BN) akan mengerahkan seluruh jenteranya bagi membantu kemenangan calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang dijadual berlangsung 2 Dis ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau yang juga calon BN untuk Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lepas, yakin sekiranya kerjasama utuh dapat diberikan seluruh jentera, tidak mustahil parti itu berupaya membuat kejutan dan memenangi kawasan Parlimen tersebut.
"Sebagai ahli parti kita kena kuat dan mementingkan kemenangan kerana tak ada cacat celanya, kita beri calon yang sempurna dan terbaik untuk rakyat Kemaman,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon dan pelancaran jentera PRK Parlimen Kemaman di sini malam ini.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 66, sebagai calon parti itu bagi PRK Kemaman.
Sementara itu, Raja Mohamed Affandi ketika ditemui berkata, tidak mustahil untuk BN merampas semula kerusi Parlimen tersebut pada PRK kali ini selepas dua penggal ia dimenangi Pas.
"Untuk memenangi Parlimen ini bukan sesuatu yang mustahil sekiranya kita sama-sama lakukan. Melihat daripada semangat (jentera) yang ada, perkara ini akan dapat kita buat, kita akan dapat menawan P040 (Parlimen Kemaman) ini,” katanya.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan Che Alias Hamid, dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari pengundian berlangsung pada 2 Dis, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing pada 18 dan 28 Nov ini.
Pada PRU15, Ahmad yang mewakili BN tewas kepada Che Alias daripada PAS dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri itu. - Bernama