GEORGE TOWN - Risikan selama empat hari yang dilakukan Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih bernilai RM5.12 juta yang disimpan di sebuah rumah pada Selasa lalu.
Rampasan rokok putih terbesar di negeri ini hasil daripada Operasi Kontraban yang dijalankan sejak 10 November lalu di beberapa premis di sekitar George Town di sini.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, hasil risikan yang dibuat membawa kepada serbuan di sebuah rumah teres di Jalan Choong Lye Hock di Tanjong Tokong pada jam 6 petang sebelum menemui 24,500 karton kotak berisi 4.9 juta batang rokok putih.
Menurutnya, kesemua rokok putih itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui jalan laut dan disimpan di rumah berkenaan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
"Hasil daripada pemerhatian yang dilakukan oleh Unit Risikan Marin terhadap premis-premis yang disyaki dijadikan tempat simpanan rokok tidak bercukai mendapati tiada sesiapa yang datang.
"Kita percaya disebabkan beberapa siri operasi yang dilakukan sebelum ini dan risikan berterusan telah menyebabkan sindiket lebih berhati-hati," katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, di Batu Uban di sini, pada Khamis.
Ditanya mengenai modus operandi sindiket berkenaan, Shamsol berkata, sindiket terbabit dipercayai memindahkan kotak-kotak berisi rokok putih yang diseludup dari negara jiran melalui bot di kawasan perairan negeri ini sebelum disorok di rumah terbabit.
Katanya, kesemua kotak berisi rokok dibalut dengan plastik bagi mengelak daripada basah.
Sementara itu, beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengesan pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.