Perak beri tempoh kepada 295 pengusaha tukar reban sistem tertutup

Iklan
Mohd Zolkafly (kiri) bersama Ahmad Shafri menunjukkan teks kenyataan media dan butiran Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 selepas sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

IPOH - Kerajaan Perak memberi tempoh sehingga tahun 2026 kepada 295 pengusaha ladang ternakan unggas untuk menukar kepada sistem tertutup sebelum tindakan tegas diambil.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, arahan tersebut diberikan susulan penguatkuasaan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 yang telah diwartakan pada 20 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini hanya 203 daripada 507 ladang reban dilaksanakan secara tertutup, manakala 295 lagi atau 58 peratus masih dibuat secara terbuka selebihnya dibuat secara bercampur.

"Selaras dengan pelaksanaan pindaan ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah turun padang mengadakan 'roadshow' bagi memberi penjelasan dan kefahaman kepada pemegang taruh khususnya penternak ayam di negeri ini.

Iklan

"Kita meletakkan sasaran untuk pengusaha sedia ada dan pengusaha baharu. Bagi permohonan baharu tertakluk kepada peraturan baharu iaitu mesti kena bina ladang ternakan tertutup, tidak dibenarkan terbuka," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pengarah JPV Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan.

Iklan

Mohd Zolkafly berkata, berdasarkan pemantauan yang dibuat oleh JPV, pihaknya menyasarkan 30 peratus ladang ternakan terbuka akan bertukar menggunakan sistem tertutup setiap tahun.

Dalam masa sama, beliau turut memberi peluang kepada pengusaha ternakan tidak berdaftar untuk memohon lesen sah dalam tempoh pemutihan yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Menurutnya, tempoh masa yang mencukupi akan diberikan kepada pengusaha sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Pindaan Enakmen Perladangan Unggas dibuat bertujuan untuk melaksanakan sistem reban tertutup sepenuhnya menjelang tahun 2026 bagi menangani aduan kacau ganggu lalat dan pencemaran.

Di dalam pindaan enakmen itu juga mewajibkan Kebenaran Merancang dan kelulusan tukar syarat tanah selain hukuman denda yang lebih tinggi bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

Sebagai contoh kadar kompaun minimum yang dikenakan sebelum ini hanya RM300 tetapi selepas pindaan enakmen berkenaan ia meningkat kepada RM5,000.