PASUKAN SSL Malaysia melangkah ke pusingan kedua Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Gran Canaria, Sepanyol apabila menjuarai Kumpulan 3 selepas empat hari perlumbaan pada pusingan pembukaan (penyingkiran 1/32) yang berakhir Isnin.
Malaysia yang diperkuatkan dengan kehadiran pelayar berpengalaman, Khairulnizam Mohd Afendy selaku jurumudi dan dibantu pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, Nur Shazrin Mohamad Latif sebagai jurutaktik, mengumpul 16 mata untuk menduduki tempat teratas Kumpulan 3.
Iklan
Iklan
Mereka meninggalkan Bermuda di tempat kedua (12 mata) diikuti Antigua and Barbuda (12 mata) dan Ukraine di tangga keempat (8 mata).
Khairulnizam yang berusaha untuk layak ke Sukan Olimpik bagi kali keempat berturut-turut di Paris tahun depan selepas London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020, berpuas hati dengan prestasi pasukan setakat ini.
"Ia benar-benar detik istimewa mengakhiri perlumbaan 4 dengan penuh dramatik apabila kami menghabiskan perlumbaan di tangga pertama," katanya dalam kenyataan dikeluarkan pasukan SSL Malaysia hari ini.
Pada peringkat seterusnya (penyingkiran 1/16), skuad negara bakal menerima tentangan dari Austria, Chile dan Estonia dalam Kumpulan 1 dijadual bermula Khamis sehingga Ahad ini.
Piala Emas SSL diiktiraf oleh badan induk pelayaran antarabangsa World Sailing disifatkan sebagai Piala Dunia yang akan menobatkan negara terbaik dalam sukan ini. - Bernama