Peniaga maut elak langgar kereta tukar laluan secara mengejut

Iklan
Keadaan kenderaan dipandu mangsa yang terbabas di Kilometer 314.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman pada petang Rabu.

KEMAMAN - Seorang peniaga maut manakala isterinya cedera apabila kereta dipandu terbabas dalam kejadian di Kilometer 314.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini pada petang Rabu.

Insiden berlaku pada jam 6.10 petang itu menyebabkan Tengku Shaharulhisham Tengku Yahya, 52, dari Taman Alam Perdana, Cukai, di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, nahas dipercayai berlaku ketika mangsa cuba mengelak dari terlanggar sebuah lagi kereta yang mengubah laluan kerana mengelak sekumpulan monyet di atas jalan.

Menurutnya, isteri mangsa, Nor Azlina Hamzah, 44, mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kiri dan kaki kanan.

Iklan

Tambahnya, seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 41 tahun yang memandu Volkswagen tidak mengalami kecederaan.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama isteri yang menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan ke kedainya yang terletak di Bandar Dungun.

Iklan
Keadaan kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa selepas terbabas di Kilometer 314.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman pada petang Rabu.

"Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Volkswagen dipandu wanita yang berada di lorong sebelah kiri jalan dikatakan mengubah ke lorong kanan kerana mengelak sekumpulan monyet di lorong kiri.

"Berikutan itu, kereta dipandu mangsa merempuh bahagian belakang kereta Volkswagen sebelum terbabas ke kiri jalan lalu melanggar besi penghadang jalan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Menurut Hanyan, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.