Angka kematian di Gaza kini meningkat kepada 11,500

Iklan
Majlis Keselamatan PBB akhirnya mencapai resolusi menggesa agar gencatan kemanusiaan segera dan dilanjutkan dalam pertempuran antara Israel dan Pejuang Hamas di Semenanjung Gaza. - Gambar fail REUTERS

BANDARAYA GAZA - Angka kematian akibat serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober meningkat kepada 11,500, termasuk 4,710 kanak-kanak dan 3,160 wanita, menurut pejabat media kerajaan di Gaza pada Rabu.

"Jumlah kematian membabitkan kakitangan perubatan kini mencecah 200," Agensi Anadolu memetik kenyataan pejabat terbabit menerusi hantaran Telegram.

Iklan
Iklan

Sementara itu, 22 anggota pertahanan awam dan 51 wartawan turut terbunuh, manakala bilangan mangsa yang cedera telah mencecah 29,800 dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita.

Sebanyak 95 bangunan kerajaan, 255 sekolah dan 74 masjid musnah manakala 162 mengalami kerosakan, termasuk tiga gereja, menurut kenyataan itu.

Iklan

Tentera Israel turut mensasarkan 52 pusat kesihatan dan 55 ambulans, sementara 25 hospital tidak lagi berfungsi.

Kerosakan akibat serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober. Foto: AFP

"Tentera Israel menyerang ramai pesakit dan mereka yang hilang tempat tinggal, serta beberapa kakitangan perubatan dan jururawat di dalam Kompleks Perubatan Al-Shifa, memaksa mereka menanggalkan pakaian dan menghina mereka," menurut kenyataan itu.

Iklan

Tentera Israel menyerbu Kompleks Perubatan Al-Shifa pada Rabu setelah pusat perubatan itu dikepung selama beberapa hari.

Pejabat kerajaan menyalahkan"Israel dan masyarakat antarabangsa khususnya Amerika Syarikat, yang bertanggungjawab sepenuhnya atas jenayah perang terancang yang dilakukan oleh tentera penjajah terhadap hospital" dan menyeru"pembukaan lintasan Rafah dan kemasukan bantuan dengan kadar segera." - Bernama


Majlis Keselamatan PBB capai resolusi gesa henti sementara perang di Gaza

NEW YORK - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mencapai resolusi menggesa agar gencatan kemanusiaan segera dan dilanjutkan dalam pertempuran antara Israel dan Pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

Ini bagi membolehkan 'bilangan hari yang mencukupi' untuk akses bantuan kemanusiaan di wilayah terkepung itu.

Majlis 15 anggota itu akhirnya mengatasi kebuntuan yang menyaksikan empat percubaan tidak berjaya untuk mengambil tindakan bulan lalu.

Majlis keselamatan menerima pakai resolusi yang juga menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan yang dipegang oleh Hamas.

Amerika Syarikat (AS), Rusia dan Britain yang merupakan kuasa veto majlis, berkecuali daripada mengundi mengenai resolusi yang digubal oleh Malta, sementara baki 12 ahli lain mengundi menyokong.

Rusia gagal dalam bidaan saat akhir untuk meminda resolusi bagi memasukkan gesaan untuk gencatan kemanusiaan segera yang membawa kepada pemberhentian permusuhan.

Majlis Keselamatan PBB akhirnya mencapai resolusi menggesa agar gencatan kemanusiaan segera dan dilanjutkan dalam pertempuran antara Israel dan Pejuang Hamas di Semenanjung Gaza. - Gambar fail REUTERS

Kebuntuan majlis itu sebahagian besarnya tertumpu kepada sama ada mahu meminta gencatan kemanusiaan atau gencatan senjata.

Gencatan kemanusiaan biasanya dianggap kurang formal dan lebih pendek berbanding gencatan senjata yang perlu dipersetujui oleh pihak yang bertelagah.

AS telah menyokong idea gencatan kemanusiaam, manakala Rusia telah mendesak gencatan senjata.

Resolusi Rabu itu juga tidak mengecam tindakan Hamas iaitu titik perbalahan bagi sekutu Israel, ASdan Britain.

Majlis itu menyeru untuk gencatan dan koridor kemanusiaan yang mendesak dan berpanjangan di seluruh Semenanjung Gaza untuk beberapa hari yang mencukupi untuk membolehkan akses kemanusiaan penuh, pantas, selamat dan tanpa halangan.

Ia adalah percubaan kelima Majlis Keselamatan untuk mengambil tindakan sejak pasukan pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.

Majlis Keselamatan sebelum ini telah melakukan cubaan bertindak sebanyak empat kali dalam dua minggu pada Oktober lalu.

Rusia gagal dua kali untuk mendapatkan undi minimum yang diperlukan, AS memveto resolusi yang digubal oleh Brazil dan Rusia serta China memveto resolusi yang digubal oleh AS.

Resolusi yang diterima pakai pada Rabu menuntut pematuhan undang-undang antarabangsa, khususnya perlindungan orang awam, terutama kanak-kanak.

Ia juga menyeru semua pihak untuk tidak menafikan orang awam di Gaza daripada perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang diperlukan untuk kelangsungan hidup mereka, mengalu-alukan penyampaian bantuan awal yang terhad tetapi menggesa agar ia ditingkatkan.

Susulan kebuntuan Majlis Keselamatan bulan lalu, Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 orang telah menerima pakai resolusi pada 28 Oktober dengan 121 undi menyokong.

Satu resolusi yang dirangka oleh negara-negara Arab yang menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera dan menuntut akses bantuan kepada mereka yang terkepung di Gaza.