SHAH ALAM - Selangor meluluskan pembinaan sebanyak 1,506 projek perkilangan melibatkan nilai pelaburan berjumlah RM88.88 bilion di negeri itu bagi tempoh lima tahun sejak 2018 hingga Jun tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM35.88 bilion melibatkan modal pelaburan tempatan dan RM53 bilion pelaburan asing yang dijangka berpotensi mewujudkan 95,610 peluang pekerjaan.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Komoditi, Ng Sze Han berkata, industri tumpuan yang akan terus diberi penekanan adalah sains hayat, pembuatan makanan dan minuman, pembuatan produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan merangkumi industri aeroangkasa, dron, mesin dan peralatan.
Menurutnya, bagi sektor perkhidmatan pula, kerajaan telah mengenal pasti sektor yang berpotensi untuk berkembang di Selangor antaranya industri perkhidmatan logistik dan digital investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology.
Jelasnya, pelbagai inisiatif lain untuk menggalakkan pelaburan di Selangor adalah seperti Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program untuk membantu mempercepatkan perlaksanaan projek pelaburan dengan sokongan pelaburan diperlukan.
"Bagi sektor pembangunan sains hayat pula, program ’Selangor Lab Partnership’ diperkenalkan untuk merapatkan jurang antara pihak institusi pendidikan dan industri supaya penyelidikan dapat diusahakan secara kolaborasi dan mencapai keberhasilan untuk dipasarkan,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di Dewan Negeri Selangor di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Pua Pei Ling (PH-Bukit Lanjan) berhubung kadar pelaburan antarabangsa di Selangor antara tahun 2018 hingga 2023 dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam soalan tambahan pula meminta kerajaan negeri menjelaskan tindakan Selangor untuk memastikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dimeterai kerajaan Persekutuan turut melibatkan pelaburan di negeri ini.
Sze Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara memaklumkan, kerajaan negeri bersedia menjemput dan menyambut pelabur melalui CPTPP apabila pelbagai program berkaitan diadakan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Menurutnya, Selangor International Business Summit mendapat sambutan cukup baik berdasarkan data terkini 'potential transaction value' bernilai RM1.2 bilion dan jumlah pelawat adalah 57,249 dan itu adalah langkah menjadikan Selangor sebagai destinasi utama bagi pelabur asing.
"Kerajaan negeri juga sedang merancang mewujudkan aero park di sebelah KLIA, perbincangan bersama tuan tanah sudah dan pemain industri aeroangkasa sudah diadakan dan mereka menunjukkan minat untuk melabur,” katanya lagi.