KOTA TINGGI -"Ayah pernah pesan agar anak-anak uruskan jenazahnya," kata Ehmad Hadie Elfardie, 15.
Anak sulung kepada Allahyarham Mohd Suhaimi Saad itu memberitahu ayahnya sempat berpesan sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot pada minggu lalu.
"Ayah pesan kalau ayah tak ada nanti mandikan ayah, solatkan ayah. Alhamdulillah, semua itu sudah selesaikan, sudah dilakukan.
"Selain itu, ayah juga minta agar saya dan adik-adik jaga solat dan jangan tinggal mengaji," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum itu, jenazah bekas vokalis kumpulan nasyid In-Team itu selamat dikebumikan di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, pada pagi Khamis.
Ehmad Hadie berkata, dia menerima pemergian bapanya itu sebagai ketentuan Ilahi dan reda dengan apa juga yang berlaku.
Ditanya mengenai kenangan terindah bersama ayahnya, itu, Ehmad Hadir berkata, setiap hari bersama ayah merupakan kenangan terbaik dalam hidup.
"Kami semua (adik beradik) rapat dengan ayah. Hari-hari menjadi kenangan terindah bersama ayah.
"Ada sahaja benda yang seronok kami buat dengan ayah," katanya lagi.
Suhaimi berkahwin dengan Nordiana Mohd Naim, 39, pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Sallman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.
Pada Rabu, Mohd Suhaimi menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.40 petang di Hospital Sultan Ismal (HSI) akibat jangkitan kuman pada paru-paru.