MALAYSIA Airlines Berhad akan menerima pesawat Boeing 737-8 pertamanya hari ini selepas tertunda hampir empat bulan sejak Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, pesawat ini adalah antara 25 buah pesawat Boeing 737-8 yang ditempah syarikat itu dan penghantaran sepenuhnya dijadualkan pada 2026.
"MAG menampilkan kemodenan dan kekayaan warisan Malaysia melalui reka bentuk livery dan reka dalaman kabin yang selesa, semuanya bertujuan untuk menambah baik pengalaman pelanggan secara keseluruhannya,” kata dalam satu kenyataan.
Ahmad Luqman berkata, livery pesawat ini juga akan membawa transformasi ketara syarikat termasuk visi dan aspirasi Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan negara.
Katanya, pesawat berkenaan mengekalkan logo ikonik ‘wau’ pada badan pesawat yang dihiasi dengan motif songket berwarna emas bagi melambangkan keazaman dan visi syarikat untuk terus terbang tinggi dengan penuh keyakinan dan membawa jati diri negara ke serata dunia.
"MAB juga mengekalkan identiti syarikat dengan memaparkan rekaan kabin yang menerapkan motif songket rona biru dan kelabu pada sarung kerusi.
"Butiran seni ini tidak hanya menambah daya tarikan estetika tetapi juga memberi penghormatan kepada budaya Malaysia dan membolehkan penumpang untuk meresapi ke dalam warisan negara ketika mereka melangkah ke dalam pesawat,” katanya.
Ahmad Luqman berkata, Boeing 737-8 juga sama seperti pesawat B737-800 NG yang diperbaharui, yang mana pesawat ini akan dilengkapi dengan sistem Hiburan Dalam Penerbangan (IFE) tanpa wayar dan MHstudio yang menyediakan pelanggan dengan lebih 500 pilihan hiburan atas permintaan serta pengalaman membeli-belah peribadi.