PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan sebanyak 20 projek perumahan terbengkalai dapat diselesaikan tahun depan.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 16 projek terbengkalai dikenal pasti di Terengganu, Kelantan, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan yang melibatkan 2,047 pembeli terjejas.
"Kalau tahun ini lapan projek terbengkalai (disiapkan), sasaran tahun depan adalah sebanyak 20 (projek terbengkalai disiapkan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai 2023 di sini pada Khamis.
Seminar sehari itu disertai lebih 200 wakil agensi terdiri daripada pemaju perumahan, kontraktor penyelamat serta pelikuidasi untuk meneroka usaha pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.
Beliau berkata, semua projek lewat, sakit dan terbengkalai membawa Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM79.03 bilion.
"Setakat tarikh tersebut, sebanyak 301 projek atau 38,752 unit rumah dengan nilai GDV sebanyak RM28.88 bilion berjaya dipulihkan.
"Jumlah ini turut meliputi pemulihan lapan projek perumahan swasta terbengkalai yang membawa nilai GDV sebanyak RM574.08 juta sejak penubuhan pasukan TFST.
"Secara kumulatif sehingga tarikh tersebut, KPKT telah berjaya memulihkan sebanyak 266 projek perumahan swasta terbengkalai melibatkan sebanyak 67,773 unit rumah serta 46,229 pembeli,” katanya. - Bernama