ALOR SETAR - Harga siling beras putih tempatan (BPT) wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram untuk jaminan masa depan pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran makanan ruji ini.
Pengerusi Pertubuhan Peniaga-peniaga Beras Kedah, Tan Swee Huat berkata, sudah tiba masanya polisi yang mengikat harga siling BPT selama lebih 15 tahun iaitu sejak 2008 diselaraskan semula bagi menyelesaikan kemelut pesawah, pemborong, penjual beras dan pengguna.
Menurutnya, ia wajar dilaksanakan secepat mungkin bagi memulihkan masalah kekurangan beras berkenaan dalam pasaran.
"Tindakan untuk mengkaji semula harga siling dengan segera diyakini dapat mengatasi masalah yang berlaku khususnya pasaran beras putih, selain boleh mencapai situasi menang-menang untuk semua pihak,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood sebelum ini dilaporkan berkata, harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram bagi menjaga masa depan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah.
Jelasnya, kenaikan harga siling BPT penting bagi mengelakkan berlakunya longgokan padi tempatan.
Swee Huat memaklumkan, cadangan tersebut merupakan berita baik dan Pertubuhan Peniaga-peniaga Beras Kedah menyokong penuh saranan tersebut selain berharap ia dapat dipertimbangkan oleh kerajaan.
"Kami berulang kali melaporkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pihak berkuasa kawal selia beras bahawa harga siling BPT terhad, tidak lagi sesuai kerana tidak dapat menampung lonjakan semasa dalam upah gaji, bahan pembungkusan dan sebagainya.
"Kajian semula harga siling BPT bukan sahaja akan menggalakkan pesawah menggandakan usaha mereka meningkatkan pengeluaran dan kualiti, pada masa sama petani dapat meningkatkan pendapatan,” jelasnya.
Menurutnya, ia tidak akan memerah margin keuntungan industri beras putih atau mengakibatkan ketidakmampuan untuk menanggung beban kos pengeluaran dan pembungkusan.
"Ia juga tidak akan menyebabkan ketidakupayaan untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran yang telah menyebabkan berlaku kekurangan bekalan BPT September lalu.
"Diharap Menteri KPKM melaporkan keadaan sebenar kepada Perdana Menteri agar dapat melaksanakan peraturan baharu penyelarasan harga siling BPT secepat mungkin,” ujarnya.