KUALA LUMPUR - Sebanyak RM1.24 juta dana fasilitasi diperuntukkan SME Bank kepada 249 usahawan mikro melalui Program SME Bank iTekad Penjana Komuniti.
Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, peserta yang kekal dalam kumpulan sasaran dan memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) akan diberikan dana berjumlah RM5,000 tersebut untuk setiap seorang.
"Komitmen kami untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif. Program iTekad ini direka khusus untuk memperkasakan usahawan mikro berpendapatan rendah serta membimbing mereka ke arah mencapai daya tahan kewangan.
"Selain memberi tumpuan kepada aspek pembangunan kapasiti dan memberi panduan tentang cara mencapai kemampanan ekonomi melalui bimbingan perniagaan, pemantauan berterusan dan juga dana fasilitasi," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dana Fasilitasi Program SME Bank iTekad Penjana Komuniti di sini pada Khamis.
Aria Putera berkata, program tersebut juga mendapat pengiktirafan apabila Bank Negara mengangkatnya menjadi sebahagian daripada inisiatif iTekad Bank Negara Malaysia bermula tahun ini.
Majlis sama turut meraikan 10 peserta terbaik program tersebut yang disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Sementara itu, Ewon berkata, program berkenaan memberi impak besar kepada pengukuhan dan perkembangan perniagaan golongan sasar terutama ketika pandemik.
"Inisiatif seperti ini juga mendukung misi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan holistik dan kondusif.
"Ia bagi menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan," ujarnya.
Tambah beliau, program SME Bank iTekad Penjana Komuniti berfungsi sebagai platform untuk mencetuskan transformasi positif termasuk penggerak bagi memastikan daya tahan perniagaan peserta.
"Kejayaan ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemakmuran ekonomi komuniti setempat," katanya.