JIKA disebut nama Suhaimi Saad, selain dikenali sebagai penyanyi dan komposer berbakat besar, lelaki berusia 43 tahun ini juga tidak terlepas daripada kontroversi yang sedikit sebanyak membuatkan dia menjadi perhatian umum.
Biarpun ada pendapatnya mengenai segelintir perkara bertentangan dengan pandangan umum, tetapi anak kelahiran Triang, Pahang itu sebenarnya disenangi ramai pengikut media sosialnya.
Bapa kepada empat orang cahaya mata ini disifatkan sebagai seorang suami dan bapa yang baik serta pandai membuat orang lain ketawa.
"Apa yang dia cakap semuanya memang orang akan fikir tak logik, tetapi setiap apa yang dia kata ada maknanya. Tabik sepanjang hidupnya menjaga amanah daripada ALLAH yang sangat terbaik," ujar seorang warga maya.
Justeru apabila Suhaimi dijemput pulang menghadap Illahi pada Rabu, satu persatu sisi baiknya mula dikongsikan umum.
Benarlah menurut Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (iaitu) sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.
Perkara itu turut dipersetujui beberapa warga maya yang berkongsi pandangannya mengenai Allahyarham seperti yang dikongsikan Dhani Ibnu Jannah.
"Saya selalu follow SS (Suhaimi Saad) buat live (siaran langsung). Seronok berkongsi ilmu. Ceria jer family... Kelakar... SS ni seorang yang jujur cara dia bercakap," ujarnya.
Perkara sama turut dipersetujui pengguna media sosial bernama Nisa:"Asal dulu tak minat SS, tapi tertengok live dia, lepas itu terdetik dalam hati, SS ni baik orangnya, suka lihat keluarga bahagia dia yang seadanya," tulisnya.
"Suami dan bapa yang amat baik. Selalu jumpa sekitar Kota Bharu. Sentiasa membahagiakan anak isteri, keluar makan, main sama-sama," tulis Er-yantiey_Cook.
Meskipun mempunyai pendirian sendiri untuk menjadi guru anak-anaknya, ternyata Suhaimi telah melunaskan tanggungjawab dengan baik.
Semasa hayatnya, Allahyarham telah mendidik anak-anak untuk bangun seawal pagi untuk solat Subuh berjemaah bersama-sama dan mengaji mengikut jadual.
Cerita balu Allahyarham, Nordiana Mohd Naim atau lebih dikenali sebagai Ina Naim, arwah meluahkan rasa lega apabila apabila tanggungjawabnya iaitu mengajar anak-anak mengenali ALLAH, al-Quran dan hadis.
Malah anak sulungnya, Ehmad Hadie Elfardie, 15, telah melaksanakan permintaan akhir bapanya yang mahu dimandi dan disolatkan oleh dirinya sendiri.
"Kalau dia boleh didik anak isteri dia ikut jadual sampai jadi rutin, memang dia seorang ketua keluar yang berfungsi, semoga ALLAH balas syurga," ujar pengguna media sosial lain.
"Dia ajar anak isteri hidup senaif-naifnya supaya terjadi sesuatu, anak isteri sudah biasa hidup susah. Dia baik kadangkala kita nampak orang tak baik itu depan kita sahaja," luah Sha.ezy.
Jenazah Suhaimi telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Sungai Ara, di sini pada jam 9 pagi, Khamis.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.40 petang Rabu di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Lebih 200 ahli keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan hadir mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Turut berada di tanah perkuburan anak sulung dan anak keduanya, Ehmad Hadie Elfardie dan Salman Elkhoyri, 13.
Suhaimi berkahwin dengan Nordiana pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.