KUALA TERENGGANU - Orang ramai yang terlibat secara langsung dengan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Sabtu ini dinasihatkan berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca serta perubahan persekitaran.
Pengarah Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria berkata, ia berikutan cuaca pada Sabtu ini diramalkan hujan dari pagi hingga petang.
Iklan
Iklan
"Disebabkan amaran hujan berterusan sedang berkuat kuasa, orang ramai diminta mendapatkan status keadaan cuaca dan juga paras air sungai yang terkini sebelum melakukan apa-apa aktiviti.
"Berhati-hati memandu dan jaga keselamatan diri serta peka dengan perubahan di persekitaran sekiranya terlibat secara langsung dalam proses penamaan calon,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Jabatan Meteorologi Malaysia pula dalam kenyataan pada Khamis menjangka hujan berterusan di Pantai Timur dan utara Semenanjung serta Sabah sehingga 22 November ini.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. - Bernama