China beri komitmen bantu keluarkan mangsa penipuan kerja di Myanmar

Iklan
Fadillah - Bernama
BEIJING - China memberikan komitmen untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan di Myanmar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, pihak China dan Malaysia akan memperincikan bagaimana proses bagi membawa mereka keluar dari Myanmar melalui negara Negara Tembok Besar itu dapat dilaksanakan.

"Pihak Malawakil kita akan buat follow up bagaimana kita akan mempermudahkan kaedahnya,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Terdahulu, Fadillah yang dalam lawatan rasmi sulung ke China dari 12 hingga 19 November mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pentadbiran Am dan Kastam China, Yu Jianhua dan Naib Premier China, Liu Guozhong di sini pada Khamis.

Timbalan Perdana Menteri berkata, difahamkan terdapat puluhan atau mungkin ratusan kes penipuan pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia di Myanmar.

"Apabila terlibat dengan jenayah scam ini, mereka tidak mempunyai pasport dan tidak dapat keluar dari negara berkenaan, maka kita berusaha dengan apa sahaja prosedur untuk membawa mereka balik,” katanya. - Bernama