SPRM akan panggil 4 ahli Parlimen sokong PM - Azam

Iklan
Azam

JAKARTA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia bagi menyiasat dakwaan wujudnya unsur rasuah untuk beralih sokongan.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini kita tunggu laporan (daripada polis)... siasatan terbuka akan dijalankan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Antirasuah Sedunia (WACC) 2023 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, laporan polis terhadap keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan dibuat pada Isnin lepas dan polis merujuk kepada SPRM untuk siasatan lanjut kerana laporan itu lebih tertumpu kepada elemen rasuah.

Iklan

Pada Selasa lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis dan SPRM bersedia menjalankan siasatan secara profesional terhadap laporan kononnya terdapat unsur umpan, habuan dan ugutan berkaitan sokongan beberapa Ahli Parlimen PN terhadap Perdana Menteri.

Sementara itu, Azam berkata, SPRM akan mendedahkan laporan interim berhubung siasatan terhadap Aman Palestin Bhd yang didakwa wujud ketidakaturan dalam aktiviti pengumpulan derma oleh badan bukan kerajaan (NGO) itu untuk rakyat Palestin.

Iklan

"Beri tempoh masa pada SPRM siasat dan minggu depan laporan interim akan dikeluarkan kerana ia penting untuk orang ramai tahu,” katanya dan menambah setakat ini tujuh saksi dipanggil memberi keterangan dan pegawai forensik SPRM juga sedang meneliti dokumen-dokumen yang diperoleh daripada Aman Palestin dari 2020 hingga 2022.

Mengenai laporan polis yang dibuat ekoran tohmahan terhadap SPRM yang mendakwa agensi itu dikawal oleh kerajaan, Azam berkata, ia adalah tohmahan liar dan tidak berasas.

"Kes Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar) masih dalam peringkat rayuan dan mana-mana pihak tidak boleh pertikai. Ada ketika SPRM kalah pendakwaan di mahkamah tetapi tak ada pula pihak katakan sesiapa mempengaruhi mahkamah,” katanya.

Semalam SPRM membuat laporan polis berhubung hantaran dalam aplikasi TikTok yang didakwa mengandungi tuduhan palsu semasa pelancaran jentera Pilihan Raya Kecik (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lepas.

Hantaran dimuat naik seorang pemilik akaun media sosial itu memaparkan seorang pemimpin parti politik mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau antaranya jentera- jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan selain mempertikai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan pertuduhan ke atas Syed Saddiq. - Bernama