KUALA LUMPUR - Bayi berusia 10 bulan, Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menderita penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini kerana sesak nafas pada Khamis.
Bapanya, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata, anaknya itu mula dirawat di hospital berkenaan sejak 10 November lalu.
Menurutnya, keadaan Sufi merosot dan terpaksa dimasukkan ke ICU hari ini kerana mengalami kesukaran untuk bernafas.
"Wajah Sufi agak kebiruan dan doktor terpaksa menyedut kahak dan kini Sufi dibantu dengan alat pernafasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Shafiq bekata, buat masa ini keadaan anaknya stabil, namun doktor akan melakukan imbasan x-ray bagi mengesan punca pernafasannya yang agak lemah.
"Mungkin ada jangkitan pada paru-paru namun kena tunggu keputusan selanjutnya, saya diberi kebenaran untuk melihat Sufi petang tadi,” katanya.
Tambahnya, jika keadaan berlarutan, anaknya itu akan dirujuk kepada pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan penderitaan anak bongsu daripada tiga beradik itu dan melancarkan Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina bagi mengumpul sumbangan RM9 juta untuk suntikan Zolgensma.
Sufi kini bergantung kepada ubat Risdiplam yang berharga RM40,300 untuk tempoh 35 hari bagi mengekalkan tahap kesihatan, selain rawatan bioterapi di Hospital Shah Alam tiga hingga empat kali seminggu.
Pada 26 September lalu, Sinar Karangkraf menyerahkan wang sumbangan kedua berjumlah RM200,000 kepada keluarga bayi itu.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaannya, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, sumbangan tersebut adalah hasil daripada bantuan pelbagai pihak dan juga pembaca setia Sinar Harian.