Teruja lihat matahari macam bulan

Iklan
Muhammad Hamizan (dua dari kanan) bersama Wan Haziq Haidar melihat gerhana matahari anulus di PSKT di sini hari ini.

KUALA TERENGGANU -"Rasa teruja sangat nampak matahari macam bulan pada siang hari," kata Wan Muhammad Hamizan Wan Shahril, 10.

Peserta aktiviti pencerapan gerhana matahari anulus (cincin) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) itu berkata, dia juga kagum kerana walaupun cuaca panas, keadaan suhu dirasakan sejuk dan nyaman.

Iklan
Iklan

"Walaupun ketika proses pencerapan gerhana matahari dibuat pada waktu tengah hari, keadaan cuaca terasa sejuk dan nyaman.

"Saya begitu kagum dan teruja dengan fenomena luar biasa yang pertama kali saya lihat," katanya sambil mengakui hanya melihat gambar fenomena gerhana matahari anulus menerusi pembacaan dan di kaca televisyen.

Iklan

Sementara itu rakannya, Wan Haziq Haidar Wan Mohd Hafidz, 9, berkata, ini pertama kali dia melihat fenomena itu secara langsung selain di kaca televisyen.

"Saya dapat rasa keadaan cuaca yang sejuk saat gerhana berada pada waktu kemuncak dan amat teruja.

Iklan

"Tak sabar rasanya nak beritahu pada kawan-kawan pengalaman yang saya lalui hari ini," katanya yang datang ke situ bersama Pengetua Ansari Private School, Diyana Norjihan Mohd Sabri.

Sementara itu, Pegawai Sains PSKT, Mohd Hakimi Awang Su berkata, PSKT dan Planetarium Negara mengadakan aktiviti pencerapan secara langsung dari Taman Negeri Tanjung Piai, Johor di mana fenomena itu dapat dilihat lebih jelas daripada kawasan berkenaan.

Beliau berkata, di Kuala Terengganu fasa kemuncak gerhana matahari Anulus di mana bulan berada pada kedudukan tengah matahari berlaku jam 1.19 petang.

Bagaimanapun katanya, di Terengganu hanya boleh melihat fenomena gerhana separa.

"Fasa gerhana separa bermula jam 11.23 pagi diikuti gerhana maksimum (1.19 petang) dan gerhana separa berakhir jam 3.14 petang," katanya.

Mohd Hakimi berkata, gerhana matahari berlaku apabila bulan berada di antara bumi dan matahari.

"Gerhana matahari anulus berlaku apabila diameter bulan lebih kecil daripada matahari, menyekat kebanyakan cahaya matahari dan menyebabkan matahari kelihatan seperti cincin," katanya.

Selain aktiviti pencerapan, Program Cakap-Cakap Sains sempena gerhana matahari di PSKT hari ini dimuatkan dengan aktiviti ceramah, solat sunat dhuha dan solat sunat gerhana.