KUALA LUMPUR - Video tular memaparkan seorang individu yang didakwa terjatuh dari sebuah jejambat di Kepong dekat sini merupakan kejadian di luar negara.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, semakan lanjut dijalankan mendapati kejadian yang tular itu berlaku di Quezon City, Manila.
"Polis mendapati video kejadian berkenaan disebar luas menerusi beberapa medium media sosial dengan dakwaan ia berlaku di Kepong.
"Bagaimanapun, hasil siasatan dan semakan mendapati kejadian terbabit berlaku di Quezon City, Manila," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, masyarakat diingatkan agar tidak menularkan perkara yang tidak benar atau belum ada kesahihan.
"Perbuatan menularkan sesuatu video tanpa usul periksa dan tidak benar akan menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat.
"Jadilah pengguna media sosial yang bijak dan pastikan maklumat yang diterima itu sahih atau sebaliknya," katanya.
Sementara itu, sebuah portal melaporkan individu terbabit yang merupakan seorang pengawal keselamatan bertindak terjun dari jejambat sebelum terjatuh di atas penunggang motosikal yang melalui di bawah jejambat itu.
Laporan terbabit turut menyatakan lelaki itu kini dibawa ke pusat kesihatan untuk pemeriksaan mental.
Pada Khamis, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai terjatuh daripada sebuah jejambat.
Hantaran tular itu turut menyatakan kejadian berkenaan berlaku di Kepong, Kuala Lumpur.