ALOR SETAR - Festival Sunnah Mahabbah Rasul menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) melalui aktiviti selawat tanpa henti dan salinan naskhah al-Quran.
Festival itu menerima tajaan utama daripada Perniagaan Emas Anuar Sdn Bhd bersama Persatuan Kebajikan Raudatul Muhibbin.
Pengarah Urusan Perniagaan Emas Anuar Sdn Bhd, Mohd Khurul Anuar Mhamad Noor berkata, pihaknya bersyukur apabila mendapat pengiktirafan itu.
Menurutnya, festival itu bertujuan menggalakkan aktiviti selawat dalam kalangan muslim dan mendidik masyarakat mengenali al-Quran.
"Dalam festival ini, kita berjaya mengadakan aktiviti selawat tanpa henti selama 65 jam bermula jam 10 pagi pada 22 Disember hingga jam 10 pagi pada 25 Disember.
"Dalam tempoh itu, lebih 700,400 selawat berjaya dialunkan peserta di kawasan Masjid Al-Bukhary, di sini," katanya.
Sementara itu, pengarah program, Sukarno Abdul Hamid, sebanyak 1,348 halaman al-Quran ataupun bersamaan dua naskhah kitab suci berkenaan berjaya disalin semula dalam tempoh tujuh jam sahaja bermula 10 pagi hingga 5 petang semalam.
Katanya, pihaknya berharap lebih banyak syarikat korporat dapat mengambil bahagian dalam program sedemikian dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan al-Quran itu.
"Kita merancang untuk melakukan roadtour demi menggalakkan anak-anak mencintai al-Quran dan amalan berselawat, malah bercadang untuk mendekati golongan bukan Islam," katanya.
Festival selama hari dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti kuliah, ceramah agama, aktiviti memanah, permainan dron, tadarus al-Quran dan reruai pameran artifak peninggalan Rasulullah SAW, sejarah ulama serta buku sirah terbesar di dunia.