Dari sungai ke laut

Iklan
Apabila pokok-pokok ditebang, tanah yang sebelum ini terlindung kini terdedah. - Gambar hiasan

KESEMUA sungai mengalir ke laut. Ini kerana sungai berpunca dari tanah tinggi. Bersama aliran sungai itu dibawanya apa-apa sahaja yang memasukinya di hulu dan di sepanjang sungai.

Di kawasan tanah tinggi tropika seperti di Malaysia, tumbuh pelbagai jenis pokok kayu yang boleh dijadikan balak.

Balak itu pula diproses menjadi papan yang digunakan untuk membuat pelbagai keperluan manusia. Inilah sebabnya pembalakan menjadi antara aktivifi ekonomi yang berkembang selari dengan perkembangan masyarakat.

Iklan
Iklan

Lagipun membalak senang. Tebang apa yang sudah tumbuh beribu tahun. Tak perlu otak yang bergeliga untuk menjadi pembalak berjaya. Lebih banyak peraturan dikompromi, lebih banyak hasil yang dikutip.

Pokok membantu penyerapan air hujan terutama pada musim tengkujuh. Apabila pokok-pokok ditebang, tanah yang sebelum ini terlindung kini terdedah.

Apabila hujan turun, air mengalir lebih laju kerana tidak ada lagi pokok-pokok yang memperlahankan aliran.

Iklan



Mendapan tanah dan pasir di hilir menjadikan sungai di bahagian berkenaan semakin cetek. Ia satu lagi faktor yang menyebabkan risiko banjir menjadi lebih tinggi.

Bencana banjir turut disumbangkan oleh penerokaan hutan secara tidak terancang. - Gambar hiasan

Sekarang kita menghadapi satu unsur baharu, nadir bumi atau lebih mesra dengan panggilan REE. Oleh sebab nilai ekonominya tinggi, saya menjangkakan proses komersilisasinya akan dilakukan dengan cepat.

Iklan

Jika sebelum ini tanah terbiar selepas pokok-pokok di atasnya ditebang, kini ia akan digali dan diproses pula. Jika rekod sebelum ini menunjukkan kesan kepada alam tidaklah diberikan perhatian sangat, apakah yang berbeza kali ini?

Kesemua itu ada kosnya. Secara langsung dalam Belanjawan 2024 ada peruntukan Ecological Fiscal Transfer sebanyak RM200 juta.

Ia bertujuan untuk membantu negeri-negeri yang menjaga khazanah biodiversiti masing-masing untuk diwariskan kepada cucu cicit kita yang tentunya ada hak ke atas kehijauan yang ada pada hari ini, sama seperti kita menuntut hak kita ke atas bumi melalui pembalakan dan perlombongan.

Penubuhan pasaran kredit karbon mungkin akan membantu pihak yang berkuasa ke atas khazanah bumi bagi mendapatkan hasil tanpa perlu menjahanamkan pusaka cucu cicit kita.

Yang menjadi cabarannya ialah pasaran itu masih di peringkat permulaan dan banyak perkara masih belum jelas seperti penilaian karbon dan sebagainya.

Apabila sebatang pokok ditebang, nak digantikan dengan pokok seumpamanya memerlukan masa ratusan tahun. Lagi lambat pasaran karbon tersebut, lagi banyak pokok yang akan kita hilang.

Walaupun kos ekonomi pemanasan bumi dan bencana alam itu tentunya tinggi, tak ramai orang yang merasainya secara langsung ketika ini. Itulah sebabnya tak banyak syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang mempunyai matlamat amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Syarikat-syarikat besar pula hanya nampak mula bergerak apabila dipaksa oleh agensi kawal selia atau pun bursa saham.

Walaupun ‘dari sungai ke laut’ ada makna lain, yang lebih dekat dengan kita adalah bencana hasil daripada tangan-tangan kita sendiri.

Jika kita tidak ada semangat menguruskan khazanah hutan kita dengan kaedah lebih bertanggungjawab, bencana yang mungkin dihadapi bukannya disebabkan oleh kuasa luar tetapi mungkin disebabkan oleh kita sendiri.

Apakah yang cucu cicit kita akan kata apabila mereka yang membayar harga usaha atuk dan moyang mereka kelak?

*Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji