Salah guna media sosial jual ketum

Iklan
Daum ketum.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan penjualan daun dan air ketum yang menjadikan media sosial sebagai medium mempromosikan aktiviti berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perkara yang bertentangan dengan undang-undang akan diambil tindakan apatah lagi menyalahgunakan media sosial.

Iklan
Iklan

"Selain itu, penagihan air ketum mendatangkan kemudaratan kerana campuran bermacam-macam bahan kimia.

"Pihak polis agresif melakukan risikan dan tangkapan terhadap kegiatan ini melalui pelbagai pendekatan serta operasi bersepadu,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata, antara modus operandi dikesan ialah premis digunakan untuk dijadikan tempat membungkus dan memproses ketum.

"Polis memandang serius isu pengedaran dan penjualan ketum dan kita menggesa masyarakat salurkan maklumat untuk tindakan pembanterasan.

Iklan

"Ini terbukti menerusi hasil kejayaan tangkapan dan rampasan untuk tindakan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” tegasnya.

Daun dan air ketum yang diterima selepas COD di sekitar Lembah Klang.

KISAH 1 - Suami berubah jadi panas baran angkara ketum

"SETIAP hari saya makan hati dengan tingkah lakunya”.

Demikian luah isteri kepada seorang pengambil ketum tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Shima, 33, ketika menceritakan mengenai perubahan suaminya yang ketagihan sejak setahun lalu.

Shima berkata, suaminya seorang yang penyayang sebelum terjebak dengan ketagihan air ketum apabila dikenalkan oleh rakan sekerja.

"Apa yang berlaku, pantang ada silap sikit atau ada perkara yang tidak kena pada matanya, pasti dia akan naik tangan terhadap saya dan anak-anak.

"Kadang-kadang benda itu sekadar perkara kecil misalnya mainan disepahkan anak-anak, memang dia tidak cakap banyak, terus marah dan ada beberapa kali cuba nak memukul, namun saya halang,” ceritanya.

Kata suri rumah itu, suaminya memaklumkan mengambil air ketum kerana masalah kesihatan.

"Mula-mula cuma minum segelas kecil sekitar dua atau tiga kali seminggu, namun sejak akhir-akhir ini saya lihat pengambilannya menjadi semakin kerap, boleh dikatakan setiap hari dia minum,” dedahnya.

Tambahnya, lebih merisaukan bekalan ketum mudah didapati menerusi dalam talian.

"Saya pernah tengok telefon suami, memang ada beberapa halaman dalam media sosial yang mana mengumpulkan penagih ketum malah siap ada yang jual lagi,” jelasnya.

Tambah Shima, dia merindukan suaminya yang dahulu dan berdoa agar dia akan berubah kelak.

KISAH 2 - Kerjaya musnah akibat ketagih ketum

KERJAYA seorang eksekutif pemasaran sebuah syarikat terkemuka musnah selepas terjerumus dengan penagihan air ketum.

Hanya mahu dikenali sebagai Zaidi, dia mula terjebak selepas mengikuti satu halaman di media sosial sejak setahun lalu.

"Sebelum ini saya gemar minum minuman berkarbonat untuk kecergasan dan berhenti setelah disahkan kadar gula dalam darah saya semakin tinggi.

"Ada yang minta saya cuba untuk mengambil air ketum bagi memastikan saya bertenaga, tambahan pula saya rajin bersukan,” katanya.

Ujarnya, dia mula merasakan perubahan setelah mengalami ketagihan ketum yang teruk kebelakangan ini.

"Setiap kali selepas makan saya mesti kena minum air ketum walau sedikit untuk kembalikan kecergasan badan.

"Masa itu tidak fikir panjang, cuma nak sedap saja tanpa fikir kesan buruk,” dedahnya.

Menurutnya, kaedah jualan menerusi dalam talian membuatkannya tidak perlu khuatir tentang bekalan air ketum.

"Sebelum ini agak susah nak dapat bekalan, saya terpaksa ambil cuti untuk pulang ke kampung di utara Semenanjung semata-mata nak beli.

"Kini saya boleh dapatkan bekalan menerusi jualan dalam halaman di media sosial (Facebook), air ketum dijual dengan harga RM20 bagi setiap botol satu liter,” ujarnya.

Zaidi berkata, prestasi kerjanya yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini sehingga dibuang kerja menyebabkan dia terfikir untuk meninggalkan ketagihan ini.

"Tipulah kalau kata saya tidak terfikir nak tinggalkan air ketum ini, sebab lama kelamaan saya merasakan kehidupan semakin teruk dari hari ke hari.

"Saya harap akan menemukan kaedah terbaik bagi menghilangkan ketagihan ini suatu hari nanti,” ceritanya lagi.

KISAH 3 - Anak berubah jadi pendiam, suka berkurung dalam bilik

SEORANG wanita berusia 50-an yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah meluahkan rasa kecewa selepas perubahan ketara anaknya yang ketagihan air ketum.

Kata Salmah, anaknya yang berusia 20-an dan masih belajar di sebuah kolej swasta terlibat dengan penagihan sejak lima bulan lalu.

"Anak saya berubah menjadi seorang yang pendiam selain suka menyendiri dan lebih suka berkurung dalam bilik selain sering melawan apabila permintaannya tidak dipenuhi.

"Ada sekali itu, dia telefon saya dan mahukan wang RM200, apabila diberitahu tiada wang, dia terus tinggikan suara dan tuduh saya sengaja beri alasan,” katanya.

Ujar Salmah, dia mula mengesyaki sesuatu apabila melihat satu botol air berwarna seakan hijau dalam beg anaknya.

Jelas kakitangan swasta itu, anaknya akhirnya mengaku terjebak dengan penagihan air ketum.

"Tipulah kalau kata tidak kecewa, manakan tidak, dia satu-satunya harapan saya.

"Saya mahu dia berjaya dalam hidup dan tidak mahu dia hanyut disebabkan air ketum ini,” dedahnya.

INFO

1) Pokok ketum

- Pokok ketum atau pokok biak atau nama saintifiknya Mitragyna Speciosa adalah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di negeri-negeri sebelah utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kebanyakannya ditemui tumbuh secara liar di kawasan-kawasan hutan dan persekitaran kampung.

- Batang pokok ketum berkayu keras dan bercabang. Ketinggian pokok ketum boleh mencapai sehingga 25 meter dan garis pusat batang pokok mencapai sehingga satu meter. Bahagian yang digunakan daripada pokok ketum adalah daunnya.

Daum ketum.

2) Penyalahgunaan

- Air daun ketum telah disalahgunakan oleh penagih dadah kerana mengandungi bahan-bahan psikoaktif mitragynine yang memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria yang boleh menyebabkan penagihan.

- Air ketum dihasilkan dengan direbus dan kemudian dibungkus dalam paket kecil untuk dijual kepada penagih.

- Daun ketum mengandungi bahan aktif mitragynine iaitu sejenis alkaloid psikoaktif. Bahan ini dikawal di bawah Akta Racun 1952 di bawah peraturan kawalan psikotropik.

- Terdapat juga 24 bahan lain yang terkandung dalam ketum antaranya ajmalin, corynanthedine, mitaphylline, paynanthesine, speciophylin dan speciogynine.

3) Kesan KetumRasa khayal (euforia)

- Rasa pening

- Mengantuk

- Muntah

- Mengakibatkan ketagihan

- Bibir dan kulit jadi kehitaman seperti kesan lebam dan terbakar terutama di pipi

- Kulit menjadi kering

- Sembelit

- Insomnia

4) Undang-undang mengawal ketum

- Akta Racun 1952

- Menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952, adalah satu kesalahan bagi aktiviti pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan psikotropik tersebut.

- Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh dikenakan di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau empat tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sumber: MyHEALTH