Isu Palestin: Peranan pempengaruh beri pencerahan

Iklan
SEBAGAI pempengaruh, mereka bertanggungjawab memberikan kandungan yang betul dan menyebarkan kesedaran tentang isu yang berlaku di Palestin sekarang. -Gambar hiasan/ Foto: FREEPIK

Impak pengaruh mereka yang ada ribuan pengikut di media sosial berupaya ‘pecahkan’ sentimen tidak berpihak dalam kalangan masyarakat

BIARPUN operasi Taufan al-Aqsa lebih sepurnama berlalu, namun masih ada sebilangan individu kekal dengan sentimen neutral atau tidak berpihak kepada mana-mana.

Tidak sewajarnya perkara seperti itu berlaku. Lebih-lebih lagi dalam kalangan umat Islam. Ini kerana isu Palestin-Israel melibatkan hal berkaitan agama dan kemanusiaan.

Iklan
Iklan

Ironinya, golongan bukan Islam pula dilihat begitu lantang memihak kepada penduduk Gaza yang ditindas. Malah, ada yang kagum semangat juang mereka yang masih mampu bertahan meskipun dizalimi.

Ia sehinggakan munculnya gerakan non-Muslim reading Quran (bukan Muslim membaca al-Quran) di TikTok. Lebih menyentuh sanubari apabila individu yang memulakan trend tersebut, Megan Rice akhirnya dilaporkan bersyahadah hampir seminggu lalu.

Iklan

MEGAN RICE merupakan pempengaruh media sosial terawal yang mula membaca dan mempelajari kandungan al-Quran.

Sinar Islam difahamkan, terdapat pempengaruh TikTok yang mengikuti Rice, sudah memeluk Islam selepas mengkaji kitab suci umat Islam itu.

Iklan

Antaranya TikToker berbangsa Yahudi, Jackjackwilds yang dikhabarkan mengucapkan kalimah Tauhid beberapa hari sebelum itu.

Melihat gelombang tersebut di negara luar membuka mata kita betapa besarnya ‘pengaruh’ individu yang bergelar influencer atau pempengaruh.

Masakan tidak, kelompok itu berupaya memberikan konsekuensi kepada pengikut masing-masing yang begitu ramai jumlahnya.

Bagaimana ‘kuasa’ dan ‘magis’ pempengaruh untuk memberikan kesedaran kepada golongan tidak berpihak dalam isu Palestin?

Wajib menyokong mereka yang ditindas

Sinar Islam mewawancara penyanyi yang juga pempengaruh, Aniq Muhaimin Ismail atau mesra disapa sebagai Aniq Muhai.

ANIQ MUHAI

Ketika ditanya sikap sebilangan individu yang bersifat neutral dalam isu Palestin, jelas beliau, pendekatan seperti itu sewajarnya tidak perlu ada.

Ujar beliau, kita sebenarnya wajib menyokong mereka yang telah ditindas dan hilang hak miliknya sendiri.

"Kepada ‘kaki neutral’, tolonglah baca balik sejarah. Isu ini bukan sekadar hendak mengembalikan persefahaman supaya tidak berlaku pergaduhan atau mengambil jalan perdamaian.

Beliau yang mempunyai 160,000 pengikut di Instagram dan lebih 172,000 pengikut di TikTok miliknya menjelaskan, menjadi kewajipan untuk pempengaruh sepertinya menyebarkan tentang apa yang berlaku kepada umat Islam Gaza.

Baginya, penting untuk memberi kesedaran kepada ramai tentang perkara berkenaan kerana melihat media sekarang cuba ‘menukar cerita’.

"Saya perasan, tugas pempengaruh yang beri kesedaran itu sudah mula menampakkan impaknya. Ramai influencer di negara Barat yang kuat sudah sedar dengan siapa mereka perlu berpihak dan siapa mereka perlu bantu.

KEKEJAMAN yang dilakukan Israel ke atas bumi Gaza bukan sahaja melibatkan isu agama, tetapi juga kemanusiaan. -Foto: AP

"Saya hendak ucapkan tahniah kepada pempengaruh yang tidak henti-henti menyebarkan isu Palestin. Saya lihat, gerakan seperti itu banyak memberi kesan dan orang mula sedar dengan ‘kuasa pengaruh’ yang mereka mainkan,” katanya.

Bagi mereka yang belum berbuat demikian, penulis buku dan komposer itu menitipkan pesan agar menggunakan keupayaan mereka sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

"Setidak-tidaknya kemas kini ruangan bio di media sosial atau tukar gambar default image dan buat konten bermanfaat tentang isu tersebut.

"Ya, mungkin ada yang sibuk. Jadi tidak perlulah kita salahkan mereka andai tidak sempat buat hantaran tentang isu ini.

"Sebagai pengikut, cukup maklumkan pada mereka untuk lakukan sesuatu. Mereka pun manusia biasa juga,” katanya yang turut mencadangkan agar kelompok pempengaruh media sosial melakukan kolabotif untuk menggunakan platform masing-masing memberi kesedaran kepada orang ramai.

Malah, beliau tidak kisah andai akaun media sosial miliknya mungkin digodam atau disekat gara-gara lantang dalam mempertahankan rakyat Palestin.

"Baru-baru ini, tempat saya bekerja iaitu Tarbiah Sentap disekat akaun TikTok mereka. Sejujurnya siapa tidak sayang sebab bukan mudah untuk bina dari mula sampai sekarang.

"ALLAH MAHA MENGETAHUI apa isi hati dan niat kita. Yang penting, kita buat semua itu kerana ALLAH. Paling ditakuti andai ditanya dalam alam kubur nanti ‘apa yang engkau lakukan, sedangkan saudara engkau di sana bermati-matian melawan musuh?’

"Sebab itu, gunakanlah apa-apa yang kita ada termasuk platform kita untuk sebarkan kebaikan terutama dalam isu Palestin,” katanya sambil menitipkan pesan agar kita terus berdoa dan membantu mereka mengikut kemampuan masing-masing.

Bersikap neutral kerana kurang kesedaran

Sinar Islam turut mendapatkan pandangan pempengaruh yang juga penceramah motivasi Islam, Jannatul Makwa Sutikislan.

JANNATUL MAKWA

Beliau berpendapat, ceteknya ilmu agama dan kurang kesedaran menjadi antara punca mengapa ada individu yang dilihat bersikap neutral dalam isu Palestin.

"Ia sebenarnya merupakan isu kemanusiaan.

"Malulah kita apabila orang yang bukan Islam pun sedar dan mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi. Apalagi umat Islam sememangnya diajar untuk berdamai dan mempunyai empati tinggi

"Ketahuilah bahawa pendekatan neutral ini seolah-olah sedang 'mengiyakan apa yang Israel buat'. Sedangkan sudah nyata kezaliman mereka serta ia berlaku pada zaman tanah Palestin dijajah lagi,” terangnya.

Jannatul Makwa yang juga pengasas Circle One Legacy itu berkata, isu berkaitan Palestin sebenarnya berkait rapat dengan soal akidah dan kemanusiaan, selain kesedaran untuk memartabatkan tanah Islam.

"Jadi siapa pun yang mengucap syahadah, wajib memegang amanah menjaga Palestin."Kita juga tidak mahu menormalisasikan jalan damai dengan cara menginfakkan harta ataupun tanah yang sebenarnya milik kita, tetapi dicuri orang,” tegasnya.

PENGIKUT merupakan amanah kepada pempengaruh, disebabkan itu menjadi tanggungjawab pemilik akaun media sosial tersebut untuk memberikan kandungan yang baik kepada netizen.

Sedar bahawa pempengaruh sering menjadi sorotan ramai, Jannatul Makwa mengakui, dirinya menganggap pengikutnya sebagai amanah.

"Itulah tanggungjawab untuk kita sebarkan kebaikan, kongsi kesedaran dan bersama-sama mengajak orang melakukan amar makruf serta nahi mungkar.

"Kita tiada autoriti lebih daripada itu mahupun menghantar diri berjihad bersama Hamas. Semoga usaha kecil ini iaitu dengan berkongsi berita sahih di media sosial membuahkan kesedaran,” ungkapnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui akaun media sosial miliknya yang digunakan untuk tujuan mencari rezeki pernah diberi amaran kerana berkongsikan video apa yang berlaku di Palestin dan Hamas.

"Mahu atau tidak ia perlu disebarkan juga. Pada masa sama, tiada salahnya kalau kita guna cara yang lebih selamat untuk berkongsi perkara ini di media sosial masing-masing supaya ia tidak disekat.

"Bagi saya, kedua-duanya perlu diseimbangkan. Jangan sampai tidak buat langsung hingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk menyebarkan kesedaran tentang kezaliman Israel terhadap Gaza,” ujarnya.

Sebelum menoktahkan bicaranya, beliau sempat menitipkan pesanan agar kita sedaya upaya melakukan apa sahaja pendekatan untuk menunjukkan tanda sokongan kepada Palestin.

"Contohnya memboikot produk dan servis daripada Amerika Syarikat yang membantu Israel. Walaupun segelintir orang memandang bahawa ia tindakan yang sia-sia, tetapi jangan sangka usaha sekecil itu tidak mendatangkan impak, kerana pada akhirnya ALLAH pandang tindakan kita.

"Mungkin kalau seorang buat tidak dapat kesannya, tetapi dengan kekuatan dua bilion umat Islam dari seluruh dunia akan memberikan impak.

"Ingatlah, Islam ini manis dengan ukhuwah dan perjuangan bersama,” ungkapnya.

'Kita semua mampu sebar kebenaran'

Semua orang sebenarnya bergelar pempengaruh walaupun mempunyai jumlah pengikut yang sedikit atau tiada langsung di media sosial masing-masing.

Lantaran itu, setiap daripada kita berperanan menyebarkan kebenaran tentang peristiwa yang berlaku di Palestin dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai.

Demikian pandangan yang dilontarkan pempengaruh Asyraf Hakimi Abdul Jalil atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Acap atau Cikgu Asyraf.

CIKGU ASYRAF

Beliau yang aktif dalam bidang penyampaian dakwah di media sosial miliknya menjelaskan, banyak cara boleh digunakan oleh pempengaruh untuk ‘berperang’. Sebagai Muslim, katanya, kelak semuanya akan dipersoalkan pada hari akhirat.

"Kalau kita tak bantu, kita akan ditanya ‘kenapa tak bantu saudara kamu di Palestin sedangkan mereka dizalimi?’ Apa yang kita hendak jawab? Takkan hendak beritahu, kita tak pandai berperang.

Di samping itu, Cikgu Asyraf menjelaskan, kita juga boleh menjayakan perang ekonomi dengan memboikot produk yang ada kaitan dengan Israel untuk memberi tekanan ekonomi.

"Selain itu, kita boleh bantu dari segi penghasilan kandungan itu sendiri.

"Ketahuilah, ketiga-tiga perang ini sebenarnya boleh dilakukan oleh pempengaruh. Bukanlah perlu terkenal atau mempunyai satu juta pengikut, baru boleh jadi pempengaruh, tetapi mereka yang mempunyai jumlah pengikut sedikit pun boleh lakukan juga,” tegasnya.

Akui Cikgu Asyraf, begitu besar peranan yang dimainkan oleh pempengaruh dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menyampaikan perkara yang baik.

KEPADA pempengaruh, usah terlalu takut akaun media sosial disekat kerana terlalu lantang memperjuangkan isu Palestin. -Gambar hiasan/ Foto: UNSPLASH

"Pengikut anda adalah tanggungjawab anda. Kalau kita sampaikan benda yang tidak betul dan sebagainya, pengikut kita yang satu juta orang jumlahnya akan ikut benda yang buruk.

"Jadi sampaikanlah perkara baik termasuk kesedaran tentang isu Palestin. Setidak-tidaknya, mungkin 50 peratus daripada mereka akan sebarkannya kepada orang lain pula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur sikap segelintir pempengaruh yang terlalu takut akaun media sosial mereka disekat gara-gara memperjuangkan isu Palestin.

"Mungkin ada yang kata media sosial 'ini tempat saya cari makan', tetapi adakah kerana kita hanya memikirkan 'perut' sendiri, kita sanggup biarkan saudara seagama menjadi korban?

"Ingatlah, akaun kena sekat, boleh buat baharu, tetapi nyawa tiada galang gantinya. Usahlah terlalu mengejar populariti, sebaliknya terus jadi yang terbaik untuk bantu sahabat kita di luar sana,” katanya.

Seperkara lagi, beliau mengingatkan dirinya dan masyarakat agar menjaga sensitiviti umat di Gaza.

"Jangan terlampau seronok. Walaupun kita ada acara tertentu, pimpinlah ia dengan bermunajat untuk rakyat Palestin.

"Sebaiknya, tinggalkanlah dahulu perkara yang mengakibatkan ‘saya tidak kisah pun’ sementara waktu untuk saudara kita di Palestin. Paling penting, teruskan berdoa kerana ia adalah senjata orang Islam. Bahkan doa yang dipohon secara bersolidariti, insya-ALLAH akan diangkat oleh ALLAH,” ungkapnya.