Hasil padi di Selangor rendah

Iklan
Izham

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengeluaran hasil padi di negeri Selangor berada pada tahap rendah iaitu secara purata sekitar 4 hingga 4.5 tan metrik sehektar setahun.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, jumlah itu hanya sekitar 148,900 berbanding keperluannya 540,000 tan metrik setahun.

Iklan
Iklan

"Kalau kira berdasarkan sekarang ini, kita memerlukan empat kali ganda pengeluaran daripada keperluan di negeri ini," katanya semasa menjawab pertanyaan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Noorazley Yahya (PN) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Izham berkata, Selangor sebelum ini pernah mencapai purata pada tahap 7 hingga 8 tan metrik sehektar.

Iklan

Beliau memberitahu, rakyat di negeri ini memerlukan kira-kira 45,000 tan metrik beras pada setiap bulan.

"Kita mempunyai 20,000 tan beras yang ada di pasaran tanpa menyentuh stok penimbal negara iaitu 60,000 tan metrik.

Iklan

"Dua hari lepas saya ada bermesyuarat dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, (Datuk Seri Mohamad Sabu) dan Exco di negeri lain.

"Kami telah dimaklumkan bahawa untuk jangka pendek ini beras putih import (BPI) telah pun disenarai semula untuk melayakkan subsidi kerana ketidakcukupan beras tempatan," ujar beliau.

.....................................................................................................................................

Kerajaan Persekutuan bantu pembangunan luar bandar

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur luar bandar di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata, kerjasama dijalin dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu memberi tumpuan kepada beberapa strategi pembangunan luar bandar.

Menurutnya, strategi itu telah dibentangkan beliau semasa perjumpaan dan mesyuarat penyelarasan bersama Exco negeri dan KKDW pada 11 Oktober lalu.

"Semasa mesyuarat itu saya telah membentangkan empat fokus iaitu mengenai modal insan, infrastruktur ekonomi dan keusahawanan serta penyampaian perkhidmatan.

Terdahulu, Rizam menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa komited terhadap perkembangan bagi projek pembangunan desa di Selangor.

Beliau memberitahu, sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih jalan luar bandar di semua daerah di negeri ini.

"Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan permohonan bagi projek pembangunan desa dan akan menilai dari segi keperluan dan keadaan semasa bagi pelaksanaannya," tambah beliau.

Mengulas mengenai pertanyaan berhubung penyerahan tanah kampung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi urusan penyelenggaraan, Rizam memberitahu, secara amnya, pelupusan tanah kepada PBT boleh dibuat dengan beberapa kaedah.

Ujar beliau, bagi tanah kerajaan, pelupusan boleh dibuat secara Lesen Pendudukan Sementara di bawah Seksyen 65, Kanun Tanah Negara (KTN) atau secara pewartaan di bawah Seksyen 62, KTN yang mana permohonan perlu dibuat oleh PBT kepada Pejabat Daerah dan Tanah.

"Bagi tanah rizab yang telah diwartakan, pelupusan boleh dibuat secara pajakan di bawah Seksyen 63, KTN yang mana permohonan perlu dibuat oleh PBT kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor," jelas Rizam.