GEORGE TOWN - Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menggesa semua tindakan keganasan, pembunuhan dan kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Palestin ditamatkan dengan segera.
Ahmad Fuzi turut mengecam tindakan ganas tentera Israel yang membunuh dan melakukan kezaliman ke atas rakyat Palestin.
"Konflik dan peperangan yang masih berterusan telah mengakibatkan penderitaan yang besar kepada rakyat Palestin. Orang awam khususnya golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terbunuh serta ramai yang kehilangan nyawa serta kediaman mereka.
"Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk meningkatkan kesedaran tentang apa yang sedang berlaku dan berusaha ke arah membantu keperitan dan malapetaka yang sedang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat," katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) ke-15 pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai ahli komuniti global yang bertanggungjawab dan prihatin, semua pihak perlu berusaha untuk membantu keperitan yang dilalui oleh mangsa di negara terbabit.
"Saya turut menggesa, atas prinsip perikemanusiaan, masyarakat antarabangsa bersama-sama menyokong segala usaha diplomatik untuk mencapai penyelesaian yang komprehensif dan tuntas dengan segera, adil serta saksama demi kebaikan manusia sejagat," katanya.
Persidangan DUN Pulau Pinang kali ini berlangsung selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang diadakan pada 12 Ogos lalu.
Ia menyaksikan landskap perubahan susulan daripada keputusan PRN Pulau Pinang yang mana Ahli-ahli Dewan yang mewakili DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR),Barisan Nasional (BN) dan Parti Amanah Negara (Amanah) buat pertama kalinya telah bergabung di bawah payung Kerajaan Perpaduan.
Ia bagi membentuk kerajaan negeri dengan kemenangan majoriti dua pertiga di dalam PRN ke-15 yang lalu.