KEMAMAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu bersiap siaga termasuk aspek aset dan keanggotaan sekiranya berlaku banjir semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lebih 2,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di seluruh negeri sepanjang musim banjir dan bagi daerah Kemaman sahaja, lebih 700 kekuatan.
Mazli berkata, berdasarkan penilaian pihaknya, 18 pusat mengundi sekitar Kemaman berisiko dilanda banjir dan PDRM telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam merancang pelan kontigensi yang diperlukan.
"Semua aset kami telah gerakkan dan semua perancangan kami susun dengan sebaik mungkin untuk memastikan proses PRK ini berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Penamaan Calon PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Jumaat.
SPR menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal manakala 2 Disember bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Untuk hari penamaan esok, Mazli berkata, 419 pegawai dan anggota bertugas selain bantuan 366 pegawai dan anggota daripada lain-lain jabatan.
Mengenai penutupan jalan, Mazli berkata, 24 laluan di sekitar pusat penamaan calon akan ditutup bagi memudahkan proses tersebut berlangsung dan penyokong diingatkan untuk mematuhi segala peraturan dan arahan pihak berkuasa. - Bernama