SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bimbang gerakan secara halus pihak-pihak tertentu cuba untuk menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai agama negeri dan Persekutuan melalui proses litigasi mahkamah.
Menurut Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, ini termasuk mempertikai bidang kuasa negeri dalam menggubal peruntukan undang-undang Islam yang kebanyakannya adalah kelestarian daripada undang-undang Islam diamalkan dan dikuatkuasakan di negeri-negeri di Malaysia sebelum pembentukan Perlembagaan Persekutuan.
"Namun, MAIS berpendirian bahawa tindakan segera perlu diambil untuk mengelak pertikaian seperti kes Iki Putra dan kes Nik Elin ini berlaku lagi pada masa akan datang, ini kerana pertikaian seperti ini hanya akan menjejaskan kuasa Negeri berhubung dengan agama Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat
MAIS sehubungan itu menggesa kerajaan Persekutuan menyegerakan penubuhan jawatankuasa khas di peringkat Persekutuan untuk membuat kajian tentang kompetensi Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang Islam dalam kerangka ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
"Ini adalah seperti mana titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal lslam Malaysia (MKI) sempena Mesyuarat MKI Kali ke-70 baru-baru ini," ujar Abdul Aziz.
Beliau menegaskan MAIS sentiasa komited untuk memperkasa perundangan Islam di Negeri Selangor.
Justeru, MAIS menyatakan komitmen dan mengharapkan kerajaan Persekutuan agar melibatkan Majlis Agama lslam Negeri termasuk MAIS untuk bersama-sama dengan jawatankuasa khas yang dibentuk.
"Ini adalah untuk memastikan tindakan yang menyeluruh dapat dibuat untuk menyelesaikan isu berhubung dengan kompetensi badan perundangan negeri dalam menggubal undang-undang lslam demi untuk menjaga kedudukan agama slam sebagai agama Persekutuan dan agama negeri," tambahnya.