KANGAR - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 22 Januari 2024 untuk sebutan semula kes bekas tentera didakwa membunuh isterinya yang juga seorang jururawat, akhir September lepas.
Majistret Ana Rozana Mohd Nor menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom yang memohon mahkamah melanjutkan tarikh sebutan kes itu berikutan laporan kimia tertuduh serta laporan bedah siasat dan forensik mangsa masih belum siap.
Iklan
Iklan
Pada 11 Oktober lepas, tertuduh Indera Zailan Mohamad Sani, 38, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Munirah Abu Bakar, 31, di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, antara 10 malam, 29 September hingga 6.55 pagi, 30 September lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Indera Zailan diwakili peguam Hari Prassaad Rao.
Mayat wanita itu ditemukan di bilik tidur kediaman tersebut dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam dengan pisau. - Bernama