Malaysia, Thailand perkukuh kerjasama banteras penipuan kerja dalam talian

Iklan
Jojie Samuel

BANGKOK - Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel telah bertemu dengan pihak berkuasa Thailand untuk membincangkan cara-cara mengukuhkan kerjasama bagi membanteras penipuan pekerjaan dalam talian.

Jojie mengadakan pertemuan dengan Gabenor Wilayah Tak Somchai Kitcharoenrungroj, Penguasa Pejabat Imigresen Pol Kol Buwornphop Soontornlekh dan Ketua Balai Polis Mae Sot, Pol Kol Monsak Kaew-on di utara Thailand.

Iklan
Iklan

Beliau juga bertemu wakil Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dan Global Alms Incorporated, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan Australia yang komited menghapuskan pemerdagangan manusia, eksploitasi seksual dan penderaan fizikal ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak.

"Kami juga membincangkan strategi untuk menghalang lebih ramai daripada menjadi mangsa penipuan ini," katanya.

Iklan

Jojie berkata, pertemuan itu juga mewujudkan saluran komunikasi yang jelas antara pihak berkuasa Thailand dan kedutaan Malaysia.

"Sekiranya mereka mengenal pasti mana-mana warganegara Malaysia yang terlibat, mereka akan memaklumkan kepada kami dengan segera dan memberikan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Iklan

Jojie turut memuji tindakan pantas pihak berkuasa Thailand dalam menyelamatkan dan menghantar pulang warga Malaysia yang terperangkap dalam penipuan pekerjaan, serta usaha gigih mereka dalam memproses dokumentasi yang diperlukan bagi memudahkan mereka untuk pulang ke tanah air.

Sehingga kini, beliau berkata, 83 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan telah diselamatkan dan dibawa pulang melalui Myanmar dan Thailand sejak tahun lepas,” katanya. - Bernama