KUANTAN - Pas Pahang membantah dan menuntut kerajaan supaya membatalkan penganjuran konsert kumpulan muzik terkemuka antarabangsa Coldplay yang bakal diadakan di stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu depan.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Andansura Rabu berkata, penganjuran itu dilihat tidak sensitif dengan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza, Palestin selain keadaan ekonomi negara pada ketika ini.
"Dalam suasana rakyat susah, ada isu beras, hendak beli beras pun tidak mampu, ada rakyat yang boleh berbelanja besar, beli tiket mahal, suka ria dan sebagainya.
"Ini menunjukkan jurang yang tidak sama atau jurang akan memisahkan lagi kelompok rakyat. Kita perlu ada keprihatinan daripada semua pihak terhadap suasana negara kita yang agak merudum pada hari ini dari segi ekonominya serta keadaan hidup rakyat
"Maka adalah tidak bertepatan jika adakan program sebegini," katanya pada Jumaat.
Pada Khamis tular satu poster penganjuran konsert oleh kumpulan itu yang dijadual berlangsung pada 22 November ini.
Warganet turut berkongsi poster bantahan penganjuran konsert tersebut dan meminta agar kerajaan menghentikan kemasukan Kumpulan Coldplay ke Malaysia.
Andansura berkata, pendirian Pas dari awal membantah penganjuran konsert kumpulan muzik terbabit kerana kecenderungan kepada kelompok dan kumpulan tertentu.
"Kita tetap bantah. Kita harap pihak kerajaan ada keberanian untuk membatalkan konsert kumpulan ini.
"Kalau boleh kita bantu rakyat di Palestin dengan serius dan rakyat kita yang sedang susah," tegasnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Ahmad Azlan Abu Bakar meminta Kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menggunakan kuasa untuk kebaikan.
"Walaupun Coldplay pernah menyumbang kepada alam sekitar, ia tidak bermakna kita boleh pejam mata dan tulikan telinga ke atas kerosakan yang dibawa oleh mereka.
"Pengikut ajaran songsang pasti akan mempertahankan konsert ini, dan kita sebagai Muslim bangkit melawan dan mengecam mereka," katanya dalam satu kenyataan
Beliau dalam pada itu juga meminta ahli Parlimen kerajaan berjuang untuk kebenaran.
"Jangan sampai agama itu terus tergadai. Akibatnya tidak akan mampu ditanggung.
Saya kecam dan desak agar konsert sebegini dibatalkan dengan segera.
"Jangan menjemput bala ALLAH datang. Beringat sebelum bala menimpa," katanya.