KEMENANGAN yang diraih pada perlawanan pembukaan menentang Kyrgyzstan malam tadi, masih belum memadai buat skuad Harimau Malaya untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, kata Mohamad Faisal Abdul Halim.
Jentera penggempur skuad negara itu berkata, pasukan kebangsaan kini perlu lebih fokus untuk membawa pulang tiga mata dari tempat lawan apabila bertandang ke Taipei untuk berdepan Taiwan dalam perlawanan kedua saingan Kumpulan D, Selasa depan.
"Kita perlu kekalkan konsistensi dan perbaiki apa yang boleh untuk pergi jauh,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Malaysia menentang Kyrgyzstan menyaksikan skuad negara menang 4-3, malam tadi.
Pada perlawanan malam tadi, Malaysia yang dahulu membuka jaringan ketinggalan 1-3 sebelum bangkit bergaya dengan Mohamad Faisal Abdul Halim menjaringkan gol kemenangan, dua gol diperoleh menerusi tandukan Dion Cools dengan Arif Aiman Mohd Hanafi menjadi watak utama keberhasilan empat gol termasuk gol sendiri skuad 'The White Falcons'.
Walaupun menjaringkan gol kemenangan, pemain Selangor itu tidak mahu mendabik dada sebagai wira malam tadi, sebaliknya berkata kemenangan Harimau Malaya adalah hasil kerja keras semua pemain di samping sorakan penonton yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil membantu menyuntik semangat.
"Seperti yang dilihat kita cuba bangkit dan kalau diikutkan agak sukar untuk dapatkan tiga gol tapi rezeki kita berjuang sampai minit terakhir dan kita berjaya.
"Susah untuk digambarkan... yang penting pasukan, penonton gembira dengan keputusan ini. Kami juga bangga dapat berikan kemenangan untuk rakyat Malaysia," katanya. - Bernama