KEMAMAN - Polis akan menyiasat Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan palsu terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan tersebut akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
"Setakat ini Razali belum dipanggil untuk memberi keterangan dan hanya terima satu laporan polis berhubung isu tersebut.
"Jadi pegawai dari Bukit Aman akan hadir ke Terengganu dalam masa terdekat ini untuk merakam percakapan ahli politik tersebut," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman di sini pada Jumaat.
Pada Rabu lepas, SPRM membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu didakwa dikeluarkan Razali Idris.
SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, laporan terbabit dibuat pada Rabu, susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang memaparkan kenyataan Razali itu.
Di dalam hantaran berkenaan, Razali telah mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.
Sementara itu, Mazli meminta kepada semua penyokong parti atau calon supaya mematuhi segala peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi memastikan proses PRK berjalan dengan lancar.
"Persiapan berjalan lancar. Kita percaya PRK pada terutama esok akan berjalan lancar dan terkawal.
"Kita juga bersedia dengan keadaan semasa sekiranya berlaku banjir," ujarnya.