KEBETULAN singgah di sebuah pasar raya semalam, Merak Jalanan merayau ke tempat jualan pakaian sekolah. Sengaja meninjau melihat ibu ayah melayan kerenah anak membeli kelengkapan sekolah.
Teringat seorang kawan di sebuah syarikat media yang diberhentikan kerja baru-baru ini. Bagaimanalah mereka menghadapi situasi ini dengan sumber pendapatan yang telah hilang.
Merak Jalanan doakan mereka dikurniakan dengan rezeki yang lebih baik.
Sedang leka membelek beg sekolah yang pelbagai rupa dan harga itu, Merak Jalanan terdengar seorang anak berbual dengan ibunya.
"Kat sana beli kasut hitam dapat free kasut putih... jom ibu."
"Hah! betul ke?" Si ibu bulat memandang anaknya bagaikan tidak percaya.
Terus si ibu mengheret tiga anaknya ke tempat promosi. Dua tangannya memegang tangan tiga anaknya. Bimbang agaknya kalau-kalau hilang.
Di celah ketiaknya terselit beg sekolah yang telah dipilih. Di mana si bapa, tidak pula kelihatan.
Merak Jalanan pun teruja dengan perbualan tadi. Nampaknya langkah Menteri Kasut Hitam yang sebelum ini menjadi bahan kritikan di media sosial membawa rezeki berganda pula.
Apa taknya, beli sepasang dapat dua pasang kasut. Jenama terkenal pula. Sesi persekolahan tahun hadapan masih boleh pakai kasut putih ke sekolah.
Jadi, ibu bapa hanya perlu keluarkan kos untuk sepasang kasut sahaja.
Jika tidak guna untuk ke sekolah sekali pun, kasut putih itu boleh dicantikkan dengan lukisan untuk dipakai ketika bersantai.
Banyak yang Merak Jalanan tengok di Instagram budak-budak sekarang. Kreatif betul mereka.
Oleh itu, kita kena selidik dahulu sebelum 'gebang' di media sosial. Nak kritik biar ada ilmu. Jangan tembak semberono sahaja.
Jadilah bangsa yang berfikir.