[DIKEMAS KINI] KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) raih peningkatan pendapatan pelaburan sebanyak 33 peratus iaitu RM47.86 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September lalu berbanding RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah pendapatan pelaburan dicatatkan selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku tersebut.
"Daripada RM47.86 bilion jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM4.62 bilion dijana daripada keuntungan mark to market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.
"Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga (S3 2023) berakhir 30 September 2023 adalah RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos.
"Jumlah tersebut membabitkan peningkatan sebanyak RM2.38 bilion daripada RM12.29 bilion yang dicatatkan pada suku sama pada 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, jelas Amir Hamzah, pada suku ketiga berlaku peralihan ketara dalam prestasi ekuiti global yang mencatatkan pulangan negatif berbanding keuntungan kukuh pada separuh pertama 2023.
Ujar beliau, perang Israel-Palestinn dan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan pasti akan menyumbang kepada suasana ketidaktentuan dan turun naik pasaran.
"Kami menjangkakan risiko geopolitik ini akan terus menjejaskan lagi keadaan ekonomi yang sememangnya bergelora.
"Perubahan dalam sentimen pasaran ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk kebimbangan tentang kestabilan ekonomi China, kenaikan harga tenaga dan peningkatan hasil bon kerajaan, kesemuanya berlatarbelakangkan kemungkinan bahawa tempoh kadar faedah yang tinggi akan berlanjutan," katanya.
Tambah beliau lagi, pasaran pendapatan tetap global juga mencatatkan jumlah pulangan negatif pada suku ketiga berikutan peningkatan mendadak dalam hasil kerajaan.
"KWSP terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam pendaftaran ahli baharu sebanyak 365,519 dan menjadikan jumlah ahli KWSP sehingga 30 September 2023 sebanyak 15.99 juta.
"Dalam jumlah itu, sebanyak 8.53 juta adalah ahli aktif mewakili 50.4 peratus daripada 16.93 juta tenaga buruh Malaysia. KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif pada 53peratus:47peratus setakat September 2023,” ujar beliau.
Sementara itu, katanya, untuk mencapai sasaran liputan ahli aktif KWSP merangkumi lebih 60 peratus daripada tenaga buruh Malaysia menjelang 2030, KWSP meningkatkan lagi program liputan dan penglibatan dengan pihak berkepentingan secara proaktif.
Jelasnya, usaha tersebut mendapat sokongan teknologi digital yang membolehkan ahli mengakses rangkaian perkhidmatan KWSP lebih luas, termasuk pendaftaran dan pengaktifan i-Akaun, i-Saraan, dan Simpanan Shariah.