ALOR SETAR - Ahli Parlimen pembangkang mahupun kerajaan diminta bersatu hati memulihkan negara ke tahap lebih baik, berbanding asyik bercakaran dalam persidangan Parlimen.
Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Datuk Cheng Lai Hock berkata, wakil rakyat berkenaan seolah tidak memberi tumpuan sepenuhnya membangunkan semula ekonomi, sebaliknya sering berperang mulut membahaskan isu remeh.
Menurutnya, sepatutnya kesemua blok dalam Parlimen lebih fokus untuk menangani cabaran ekonomi negara dan dunia yang semakin meruncing ekoran ketidakstabilan politik di banyak negara khususnya Ukraine dan terbaharu isu Palestin-Israel.
"Bukan saja Malaysia, seluruh dunia berdepan cabaran besar pulihkan ekonomi selepas pandemik Covid-19.
"PRU15 sudah berakhir setahun lalu, Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah lepasi tiga bulan, namun ahli politik masih lagi tak terima hakikat.
"Mereka bertekak dalam Parlimen, asyik gaduh biarpun tiada isu besar dibangkitkan, hanya cari kelemahan pihak lain dan bukan bagi cadangan membina,” katanya di sini pada Jumaat.
Lai Hock berkata, apa yang sewajarnya berlaku ialah pembangkang menyuarakan cadangan yang bernas kepada kerajaan, sementara kerajaan bersikap terbuka menerima pandangan pihak pembangkang.
"Namun yang berlaku sebaliknya, selepas PRU masing-masing berkempen untuk mengekalkan kedudukan. Pihak pembangkang pula asyik mengkritik bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Menurutnya lagi, apa yang ‘dipertontonkan’ dalam Parlimen merupakan masalah besar kerana tiada lagi yang menyoalkan tentang kemajuan negara atau perpaduan, sebaliknya mencetuskan isu yang tidak bermanfaat.
"Tak kan mahu jatuhkan kerajaan sedia ada sebab tidak tunjukkan prestasi, selepas itu ambil alih dan jatuhkan kerajaan sebegitu. Rakyat disajikan dengan tingkah laku politik yang tidak sihat.
"Ramai tersinggung oleh tindakan pihak lain, memang lah seronok dengar lawan berhujah gaduh-gaduh, sudah macam tengok wayang. Ini perkara serius, perlu ubah segera,” katanya.
Lai Hock menyifatkan wakil rakyat sedia ada tidak produktif dan tidak membantu memulihkan negara dalam kadar segera.
"Kalau semua ahli politik, menteri, ketua pembangkang berkelakuan seperti itu, ia tidak produktif dan tidak bermanfaat untuk negara. Masa yang ada seharusnya digunakan untuk fokus bina semula negara dan ekonomi.
"Bagilah peluang kepada kerajaan yang diputuskan dalam pilihan raya untuk mentadbir negara dalam tempoh ditetapkan.
"Biarkan mereka buat kerja sebagai kerajaan dan jika gagal, biar rakyat tentukan dalam pilihan raya akan datang,” jelasnya.
Menurutnya lagi, sekiranya negara tidak berada di landasan ekonomi yang tepat, Malaysia akan ketinggalan berbanding negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam yang dilihat lebih progresif dalam pemulihan ekonomi mereka.
"Pertumbuhan ekonomi kita kurang memberangsangkan, jika tidak berusaha keras, negara akan jauh ketinggalan berbanding negara jiran.
"Saya bukan maksudkan ekonomi mereka jauh lebih baik berbanding Malaysia tetapi mereka lebih progresif dan lebih cepat pulihkan negara masing-masing,” jelasnya.
Lai Hock tegaskan, sudah tiba masanya semua ahli politik bersatu tenaga sama ada pembangkang mahupun kerajaan untuk menjadi ahli politik yang lebih bertanggungjawab.
"Sebahagian ahli politik sudah tidak lagi relevan dan ‘outdated’. Mereka harus beri peluang kepada pemimpin muda yang lebih profesional dan serius mahu bina semula negara.
"Saya percaya ramai golongan ini mahu sertai politik namun dihalang oleh isu-isu tertentu, menyebabkan kita kekurangan pemimpin politik berkualiti,” jelasnya.