SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berduka di atas kehilangan Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz yang dilaporkan telah meninggal dunia pada lewat malam tadi di usia 67 tahun.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mendiang merupakan pemimpin yang berjiwa besar.
"Saya mengenali mendiang sebagai seorang pemimpin yang sentiasa memperjuangkan isu-isu kemasyarakatan.
"Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan kepada masyarakat dan negara. Jasanya pasti akan dikenang sampai bila-bila,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Maglin meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan ia disahkan oleh Naib Presidennya, Datuk Loga Bala Mohan.
Menurutnya, mendiang Maglin sebagai seorang sahabat yang disenangi ramai dan selain baik hati, prihatin serta suka membantu orang lain.
Maglin sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada 2010.