KOTA TINGGI -"Syukurlah, kita berjaya pujuk Farid dan keluarga berpindah sementara hasratnya untuk bina rumah di sini dapat dilaksanakan."
Itu reaksi Exco Agama dan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Salleh, ketika menziarahi pasangan Mohd Farid Md Yusof, 30, dan Norazlina Abdullah, 21, bersama tiga anak mereka yang berusia tiga tahun, dua tahun dan lapan bulan.
Keluarga berkenaan tinggal di pondok buatan sendiri menggunakan kayu dan juga bahan terpakai di tanah milik keluarga Mohd Farid di Kampung Baharu Ulu Sungai Johor, di sini.
Menurut Mohd Fared, pihaknya menerima makluman mengenai perkara tersebut daripada laporan media pada Khamis dan terus merancang untuk melakukan sesuatu bagi memastikan keluarga berkenaan dapat dipindahkan segera.
Katanya, keluarga berkenaan akan ditempatkan buat sementara di sebuah rumah sewa di sekitar Kota Tinggi dengan sewaan bulanan dibayar oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
"Kita datang sini dan syukurnya kita dapat memujuk dan menerangkan kepada Mohd Farid, selaku ketua keluarga dan keperluan untuk mereka berpindah sementara hasratnya membina rumahnya di sini dapat dilaksanakan dengan bantuan Kerajaan Negeri Johor.
"Maka kita ucap terima kasih kepada Farid dan Azlina sebab memahami keperluan kita memindahkan mereka bermula petang ni juga (Jumaat).
"Mereka juga akan disalurkan bantuan saraan bulanan," katanya pada sidang akhbar setelah melawat keluarga berkenaan pada Jumaat.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil, Penolong Pengarah Agihan Zakat MAINJ, Zakuan Ghazali dan Setiausaha Sulit YAB Menteri Besar Johor, Izzul Helmi Ahmad.
Untuk rekod, kisah pasangan suami isteri berkenaan mula tular di media sosial sejak beberapa hari lalu hingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mahukan pasangan berkenaan dibantu.
Mohd Fared turut mengakui agak sukar pada mulanya untuk membuatkan mereka bersetuju untuk berpindah.
Bagaimanapun katanya, setelah diberikan penerangan tentang soal keselamatan, kebersihan, soal persekitaran tak kondusif, mereka sekeluarga telah bersetuju untuk dipindahkan.
Mohd Farid juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya dan keluarga."Terima kasih kepada semua pihak atas sumbangan... bantu sara hidup dan harapan untuk masa depan anak-anak," katanya.